Khamis, 06 Ogos 2020
POLITIK
01/08/2020 06:12 PM

KOTA KINABALU, 1 Ogos  -- Pengerusi UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menafikan mengeluarkan kenyataan bahawa bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman tiada dalam senarai calon UMNO bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita tempatan.

Mengakui ada memberi kenyataan kepada portal berita berkenaan, Bung Moktar berkata beliau langsung tidak menyentuh mengenai senarai calon atau Musa.  

"Itu berita palsu. Kenyataan itu bukan daripada saya, saya tidak pernah membuat kenyataan yang tidak berhala tuju. Itu kenyataan palsu yang sengaja dicipta untuk melaga-lagakan saya dengan Tan Sri Musa dan merosakkan UMNO.

“(Ini) Perbuatan musuh-musuh UMNO yang tidak bertanggungjawab yang ingin melemahkan UMNO daripada pelbagai cara," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Antara lain, laporan portal berita itu menyebut Bung Moktar sebagai berkata: “Satu-satunya jalan penyelesaian kemelut politik dalam UMNO adalah menyingkirkan Musa Aman daripada senarai calon UMNO pada PRN Sabah."

Laporan portal berita itu turut menyebut UMNO tidak mempunyai kaitan dengan kemelut politik Sabah kerana Musa bertindak atas kehendaknya sendiri untuk menjatuhkan kerajaan negeri.

Bung Moktar juga menafikan kenyataan yang memetiknya sebagai berkata kerajaan persekutuan boleh merancang pembangunan di Sabah dan tugas tersebut akan dilakukan oleh agensi persekutuan di Sabah sekiranya UMNO berjaya menawan kembali negeri itu.

"Itu berita palsu, saya tidak pernah cakap. Apa yang saya perjelaskan ialah antara tawaran baharu kami (UMNO Sabah) ialah projek pembangunan di Sabah akan dilaksanakan oleh negeri Sabah. (Kenyataan) diputar belit," katanya.

Sabah bakal menghadapi PRN selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) semasa dibubarkan. 

Pembubaran DUN itu diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Khamis lalu, beberapa jam selepas Musa mendakwa blok pembangkang memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

Musa merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Sibunga, satu-satunya kerusi DUN Sabah yang disandang UMNO.

-- BERNAMA

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan