Isnin, 10 Ogos 2020
POLITIK
01/08/2020 04:37 PM

IPOH, 1 Ogos -- Bekas Ketua Wanita PKR Haniza Mohd Talha yakin tidak ada tindakan boleh diambil terhadap beliau dan 18 lagi wakil rakyat PKR yang dikatakan berdepan surat tuntutan RM10 juta daripada parti itu kerana didakwa berpaling tadah.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya itu, tuntutan terbabit juga bersifat ultra vires iaitu melangkaui bidang kuasa. 

"Saya nampak tindakan tersebut seperti ultra vires yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak kebebasan kepada mana-mana warganegara untuk menganggotai mana-mana pertubuhan yang berdaftar.

"Kita akan meneliti apakah saman yang dikenakan dan kita sudah bersedia dengan peguam untuk mengambil tindakan seterusnya," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Korban Persatuan Suri dan Anggota Bomba Wanita Perak Bersama Nation Of Woman (NOW) Perak serta Kempen Keselamatan Kebakaran di Balai Bomba Meru Raya, di sini hari ini.

Haniza yang merupakan Presiden NOW diminta mengulas laporan media Rabu lalu yang memetik kenyataan Bendahari Agung PKR Lee Chean Chung bahawa parti itu akan mengeluarkan surat tuntutan kepada 19 ahli Parlimen dan ADUN PKR yang keluar parti agar membayar pampasan RM10 juta masing-masing kepada parti.

Haniza juga berkata beliau tidak keluar parti tetapi dipecat, selain dakwaan lompat parti adalah tidak benar kerana beliau merupakan ADUN Bebas.

"Sekiranya saya menganggotai pertubuhan selain Keadilan (PKR), itu (juga) tidak menyalahi Perlembagaan Persekutuan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan