Rabu, 08 Julai 2020
POLITIK
02/07/2020 09:21 PM

KOTA KINABALU, 30 Jun -- UMNO Sabah sudah menerima surat permohonan bekas Bendahari UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak untuk menyertai semula parti, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau berkata surat permohonan Salleh itu diterima UMNO Sabah satu atau dua minggu lepas.

“UMNO sudah pun menerima permohonan (Salleh) secara rasmi dan saya telah memanjangkannya (permohonan) itu kepada Majlis Tertinggi UMNO untuk dipertimbangkan dan diperhalusi …(sedang dalam) proses diberi pertimbangan dan kelulusan.

“UMNO Sabah terbuka iaitu kita membuka pintu kepada mana-mana bekas ahli dan pemimpin daripada mana-mana parti termasuk daripada UMNO dahulu yang ingin kembali (menyertai UMNO semula), kita terima,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Terdahulu, Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah menerusi catatan dalam blog beliau sallehsaid.com memaklumkan bahawa beliau telah membatalkan permohonannya untuk menyertai PKR.

Beliau mengambil keputusan itu pada April lalu selepas memikirkan secara mendalam dan mengambil kira landskap politik hari ini termasuk pergolakan dalaman PKR.

Salleh yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia memohon menyertai PKR pada Oktober tahun lalu selepas beliau bersama sebilangan besar kepimpinan UMNO Sabah meninggalkan parti pada Disember 2018.

-- BERNAMA

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan