Sabtu, 04 Julai 2020
POLITIK
26/06/2020 02:40 PM

PUTRAJAYA, 26 Jun  -- Kerajaan negara-negara anggota ASEAN perlu mewujudkan rancangan yang bersepadu untuk segera melaksanakan langkah-langkah bagi “travel bubbles” antara negara-negara anggota ASEAN yang dikategori ‘hijau’, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini. 

Beliau berkata, rancangan itu penting bagi meningkatkan pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat di rantau ini.

“Konsep “Green bubble" atau "laluan hijau" melibatkan pelonggaran sekatan perjalanan antara dua atau lebih negara yang mana jangkitan dan kes tempatan COVID-19 adalah rendah.

"Kemungkinan pada masa terdekat ini, kita juga boleh membuka sempadan bagi pelancongan antara-ASEAN agar diperluaskan dan meningkatkan kewangan yang amat diperlukan dalam ekonomi kebangsaan kita,” kata Muhyiddin pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-36, yang diadakan secara maya dan dihoskan oleh Vietnam. Muhyiddin menyertai sidang maya itu dari sini.

Muhyiddin berkata, Malaysia juga menyokong dan berkongsi pandangan yang sama dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Presiden Indonesia, Joko Widodo bahawa para pegawai rasmi ASEAN perlu mula usaha untuk mewujudkan satu “travel bubbles” ASEAN.

"Sebagai langkah pertama, kita boleh menerokai kemungkinan pengecualian sektor bagi sekatan perjalanan seperti pelancongan perubatan atau lawatan ekonomi bernilai-tinggi,” katanya.

Muhyiddin menjelaskan bahawa krisis kesihatan awam telah memberi kesan yang besar terhadap ekonomi dan menghidupkan semula ekonomi serantau perlu menjadi keutamaan ASEAN untuk mengurangkan gangguan perdagangan dan memperkuat daya tahan rantaian bekalan serantau ini.

Perdana Menteri berkata, seperti yang dicadangkan oleh Malaysia pada bulan April, ASEAN perlu merumuskan satu Pelan Pemulihan Ekonomi Serantau memandangkan negara di rantau ini sedang bergelut untuk kelangsungan ekonomi.

Beliau berkata, jika ASEAN tidak melindungi ekonomi rantaunya, jurang pertumbuhan yang lebih meluas di antara negara-negara anggota ASEAN boleh merosakkan objektif pengelompokan serantau ini bagi integrasi ekonomi yang lebih besar.

“Kita perlu bertindak dengan pantas dan tegas dalam menyelaraskan tindak balas peringkat serantau dalam menghidupkan semula ekonomi kita. Tindak balas yang diselaraskan dengan baik akan memastikan kita dapat keluar dari krisis ini bersama-sama dengan lebih kuat, sebagaimana kita menghadapi krisis sebelum ini,” tambah beliau.

Muhyiddin berkata, bersama-sama dengan rakan anggota ASEAN yang lain, Malaysia juga akan berusaha ke arah mencapai kesimpulan dan menandatangani Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) tahun ini.

Beliau menambah bahawa Malaysia bersedia untuk terlibat dengan India dalam penyertaan terus dalam RCEP, yang mana Malaysia percaya ia akan menyumbang kepada kemakmuran serantau.

-- BERNAMA

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan