Selasa, 07 April 2020
POLITIK
25/03/2020 04:46 PM

KOTA KINABALU, 25 Mac  -- Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata Pakej Bantuan COVID -19 Sabah yang diumumkan oleh ketua menteri hari ini menunjukkan keprihatinan seluruh pimpinan kerajaan negeri terhadap  cabaran-cabaran yang tercetus akibat COVID-19. 

Sambil menyambut baik pengumuman itu, Ewon berkata bantuan yang dibincang panjang lebar dalam mesyuarat kabinet hari ini itu dapat meringankan bebanan rakyat Sabah menghadapi wabak pandemik terutamanya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan. 

"Pakej bantuan ini dapat meringankan beban pelbagai lapisan masyarakat termasuk di luar bandar yang kehilangan punca pendapatan dan memerlukan bantuan keperluan dapur serta petugas-petugas di barisan hadapan seperti anggota-anggota Jawatankuasa Bencana Daerah COVID-19 di seluruh daerah yang dipengerusikan oleh pegawai daerah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan Pakej Bantuan COVID-19 sebanyak RM670 juta itu selepas Mesyuarat Jemaah Menteri Sabah hari ini. 

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian turut menghargai pertimbangan Ketua Menteri Sabah yang mengambil berat kebajikan Pengerusi dan Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung di seluruh Sabah dan menyediakan peruntukan pembayaran elaun sepanjang tahun ini ekoran penularan wabak berkenaan. 

"Begitu juga dengan keprihatinan Kerajaan Sabah menyediakan peruntukan sebanyak RM200 juta bagi menambah baik infrastruktur dan kemudahan asas luar bandar. Peruntukan ini penting untuk merangsang semula ekonomi di peringkat daerah di seluruh Sabah untuk keperluan projek kecil di kampung-kampung yang akan dilaksanakan sebaik sahaja tempoh (Perintah) Kawalan Pergerakan ditamatkan,” katanya.

Ewon berharap penularan pandemik dapat ditangani dengan baik dan situasi kembali pulih supaya pelbagai program pembangunan dapat dilaksanakan segera. 

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Lain-lain

Laman Korporat
Hubungi Kami
Sebutharga / Tender

Ikut Kami

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan