PASARAN > BERITA

Emas Boleh Langkau RM700 Segram Di Malaysia Susulan Pengukuhan Ringgit

26/01/2026 04:29 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Harga emas Malaysia berada di landasan untuk melepasi RM700 segram pada masa hadapan berikutan pengukuhan ringgit dan dolar US yang semakin melemah, menurut seorang penganalisis.

Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata harga emas tempatan yang lebih tinggi mencerminkan tekanan fiskal global dan dinamik mata wang, mengatasi apa-apa cetusan geopolitik. "Bagi Malaysia, dinamik ini penting secara langsung. Jika harga emas yang tinggi dikekalkan bersama dolar US yang lebih lemah atau dorongan yang diperbaharui ke atas ringgit, harga tempatan mungkin bergerak ke arah jajaran RM700 segram," katanya kepada Bernama.

Harga fizikal emas setakat 9.30 pagi hari ini, berada pada paras RM627.39 segram, naik RM15.09 berbanding RM612.30 yang dicatatkan semasa 5 petang, Jumaat lepas.

Ringgit diniagakan pada 3.9665 berbanding dolar US selepas rehat tengah hari hari ini, paras tertinggi sejak 22 Mei 2018, apabila ia berada pada 3.9655.

Sementara itu, harga emas di bursa Comex New York pada Ahad telah melebihi US$5,000 setiap auns troy buat pertama kali dalam sejarah. Harga niaga hadapan emas Februari di bursa itu turut meningkat sekitar US$40 daripada penutupan sebelumnya, atau 0.8 peratus, mencecah US$5,025 setiap auns troy. Rekod emas sebelum ini ialah kira-kira US$4,525.16 setiap auns troy, yang ditetapkan pada 23 Dis 2025.

Di peringkat global, Innes berkata pemacu utama di sebalik lonjakan harga emas adalah peningkatan risiko yang terkandung dalam lembaran imbangan kerajaan.

Beliau menambah pasaran akan bertindak balas khususnya kepada magnitud hutang global dan pergantungan yang semakin meningkat pada penurunan mata wang sebagai alat untuk menguruskannya. Instrumen seperti niaga hadapan emas digunakan terutamanya sebagai lindung nilai untuk kedudukan emas fizikal, sama ada secara jangka pendek atau panjang dan boleh dihantar.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid bersetuju bahawa lonjakan harga emas mampu mencecah RM700 segram tahun ini apabila peniaga dan pelabur semakin beralih kepada logam berharga sebagai aset selamat di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran yang memuncak.

"Mungkin kerana emas adalah sangat berharga dan nilainya tidak dipengaruhi oleh drama politik. Ini menjadikan logam berharga seperti emas benar-benar unggul sebagai tempat berlindung apabila pasaran menjadi sangat tidak menentu," katanya.

Beliau berkata trend kenaikan harga emas telah bersambung ke dalam tahun ini, ia menokok 17.6 peratus kepada US$5,077.79 setiap auns troy. “Logam berharga lain turut seperti perak, platinum dan paladium, masing-masing turut meningkat sebanyak 47.5 peratus, 34.6 peratus serta 25.6 peratus kepada US$105.699, US$2,773.1 dan US$2,034.96 setiap auns troy,” katanya lagi. 

 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan