PASARAN > BERITA

Ringgit Dibuka Hampiri Paras Tertinggi Lima Tahun Berbanding Dolar AS

23/01/2026 09:21 AM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Ringgit dibuka menghampiri paras tertinggi dalam tempoh lima tahun berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, selepas Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.

Mata wang tempatan itu berada sekitar 4.02 berbanding dolar AS pada awal dagangan, iaitu paras yang kali terakhir dicatatkan pada 21 Jan, 2021 ketika ringgit diniagakan pada 4.0280/0320.

Pada 8 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.0285/0440 berbanding dolar AS, daripada paras penutup 4.0370/0415 pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata keputusan MPC itu mengukuhkan jangkaan terhadap kestabilan dasar monetari, sekali gus menyokong prestasi ringgit.

Beliau berkata sentimen pasaran bertambah baik selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump meredakan pendirian agresifnya terhadap Greenland.

Selain itu, inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS meningkat seperti dijangka kepada 2.8 peratus pada Disember daripada 2.7 peratus sebelum ini, sekali gus mengukuhkan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan AS akan mengekalkan kadar faedahnya pada minggu hadapan, katanya.

“Sementara itu, Indeks Dolar AS susut 0.48 peratus kepada 98.287 mata, manakala harga emas semerta terus mencatat paras tertinggi baharu pada AS$4,939.64 setiap auns. Justeru, ringgit berpotensi untuk terus mengukuh hari ini susulan kelemahan dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Pada awal dagangan, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5416/5516 daripada 2.5440/5469 pada Khamis, bagaimanapun  susut berbanding pound Britain kepada 5.4381/4590 daripada 5.4273/4334 dan melemah berbanding euro kepada 4.7347/7529 daripada 4.7205/7257.

Berbanding mata wang serantau, mata wang tempatan itu turut diniagakan bercampur-campur.

Ringgit mengukuh berbanding peso Filipina kepada 6.81/6.84 daripada 6.82/6.83, hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 238.4/239.4 daripada 238.9/239.3, namun susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1458/1581 daripada 3.1441/1478 dan melemah berbanding baht Thailand kepada 12.9592/13.0187 daripada 12.8587/8792.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan