KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan berhati-hati minggu depan, sejajar dengan perkembangan luaran dan prestasi COMEX Amerika Syarikat (AS).
Seorang penganalisis berkata ketegangan antara AS dan Iran yang mereda boleh menjejaskan permintaan untuk aset-aset selamat, yang biasanya meningkat semasa ketidakpastian geopolitik dan ekonomi memuncak tinggi.
Bagaimanapun, Presiden AS Donald Trump pada Khamis berkata Iran "tidak mempunyai rancangan untuk melaksanakan hukuman mati", sekali gus mengurangkan kebimbangan mengenai nasib penunjuk perasaan antikerajaan yang ditahan.
Berdasarkan minggu ke minggu, kontrak Januari 2026 meningkat kepada US$4,609.20 setiap auns troy daripada US$4,485.40 setiap auns troy pada minggu sebelumnya. Kontrak Februari 2026 naik kepada US$4,625.60 setiap auns troy daripada US$4,502.20 setiap auns troy, manakala Mac 2026 melonjak kepada US$4,642.60 setiap auns troy daripada US$4,520.10 setiap auns troy.
Kontrak April, Jun dan Ogos 2026 semuanya ditutup lebih tinggi kepada US$4,661.70 setiap auns troy daripada US$4,538.10 setiap auns troy sebelumnya.
Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 1,056 lot daripada 1,160 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka menyusut kepada 192 kontrak daripada 238 kontrak.
Harga emas fizikal berada pada US$4,610.85 setiap auns troy menurut penetapan oleh London Bullion Market Association pada 15 Januari, 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial