PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Lebih Tinggi Pada Tengah Hari Susulan Pengukuhan Ringgit

16/12/2025 02:52 PM

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia tinggi semasa mengakhiri dagangan sesi pagi, mengatasi pasaran serantau susulan ringgit yang lebih kukuh.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.74 mata atau 0.23 peratus kepada 1,647.46 daripada 1,643.72 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 9.95 mata kepada 1,642.77, mencatat paras terendah 1,636.50 sesi berkenaan.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 661 berbanding 301 dengan 456 kaunter tidak berubah, 1,358 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.58 bilion unit bernilai RM1.02 bilion.

Hong Leong Investment Bank Bhd berkata walaupun terdapat petunjuk lemah daripada Wall Street dan pasaran serantau, indeks penanda aras itu meningkat, disokong oleh faktor pendorong bermusim yang berlaku pada Disember, ringgit yang lebih kukuh dan keyakinan terhadap Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).

“Walaupun terdapat risiko daripada potensi berlaku kenaikan kadar faedah Bank of Japan pada 19 Disember depan, ketegangan antara China dan Jepun dan kemungkinan berlaku rombakan kabinet berikutan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 November lepas, indeks penanda aras masih dijangka meningkat lebih tinggi berlegar antara 1,650-1,660 menjelang akhir Disember,” katanya.

Pada tengah hari, ringgit berada pada 4.0805/0850 berbanding dolar AS.

Unit tempatan dibuka pada 4.0890/0970 berbanding dolar AS daripada 4.0930/0980 ketika ditutup semalam, sekali gus mencatat prestasi terbaik dalam tempoh hampir lima tahun.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional naik dua sen masing-masing kepada RM10.38 dan RM13.12, CIMB meningkat satu sen kepada RM7.94 dan IHH Healthcare melonjak enam sen kepada RM8.76, manakala Public Bank turun dua sen kepada RM4.47.

Bagi saham paling aktif, Tanco susut tiga sen kepada RM1.15, Velesto dan Mega Fortris berkurangan 0.5 sen masing-masing kepada 28 sen dan 79.5 sen, SNS Network merosot 2.5 sen kepada 50 sen dan VS Industry menguncup dua sen kepada 49.5 sen.

Kaunter paling untung menyaksikan Nestle naik 70 sen kepada RM113, Dutch Lady Milk Industries meningkat 58 sen kepada RM30.70, Fraser and Neave menambah 22 sen kepada RM35.28, Petronas Gas melonjak 18 sen kepada RM17.84 dan Petronas Dagangan menokok 16 sen kepada RM19.44.

Antara kaunter paling rugi, Malaysian Pacific Industries merosot 30 sen kepada RM31.50, Hong Leong Industries susut 18 sen kepada RM15.74, United Malacca berkurangan 12 sen kepada RM5.80, Itmax System dan Panasonic Manufacturing Asia meningkat 10 sen masing-masing kepada RM4.62 dan RM7.20.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 1.88 mata kepada 12,088.50, Indeks FBM Emas Shariah merosot 7.94 mata kepada 11,906.55, Indeks FBM ACE susut 43.80 mata kepada 4,681.49, Indeks FBM 70 berkurangan 93.50 mata kepada 16,579.92 manakala Indeks FBMT 100 meningkat 4.55 mata kepada 11,889.51.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 5.78 mata kepada 19,285.94, Indeks Perladangan naik 30.94 mata kepada 8,170.39, Indeks Tenaga merosot 5.85 mata kepada 759.69 dan Indeks Tenaga merosot 0.75 mata kepada 169.13.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan