KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi ini lebih tinggi dengan indeks utama itu meningkat 1.09 peratus, seiring prestasi kebanyakan pasaran serantau yang turut mencatat kenaikan menjelang pengumuman beberapa data penting.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 17.51 mata, atau 1.09 peratus, kepada 1,621.98 daripada paras 1,604.47 ketika ditutup pada Jumaat.
Indeks penanda aras itu yang dibuka 3.79 mata lebih kukuh pada 1,608.26, bergerak antara 1,608.26 dan 1,624.90 sepanjang sesi dagangan pagi.
Bagaimanapun, sentimen pasaran meluas adalah negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 559 berbanding 476. Sebanyak 488 kaunter tidak berubah, 1,166 tidak didagangkan dan 10 digantung.
Jumlah dagangan mencecah 2.66 bilion unit bernilai RM1.30 bilion.
Para pelabur dijangka memberi tumpuan kepada beberapa pengumuman data utama yang bakal mempengaruhi hala tuju dasar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed), termasuk angka pengambilan pekerja sektor swasta, data aktiviti perkhidmatan, dan indeks Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE).
Hong Leong Investment Bank Bhd (Hong Leong IB) berkata Wall Street mengakhiri dagangan November dalam keadaan positif pada Jumaat lepas, dengan sesi dagangan singkat pasca hari Thanksgiving mencatat keuntungan sederhana.
“Selera risiko bertambah baik apabila pasaran menjangkakan 86 peratus kemungkinan pengurangan kadar Fed sebanyak 25 mata asas pada 10 Disember,” kata bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan hari ini.
Di dalam negara, Hong Leong IB berkata dalam jangka terdekat, FBM KLCI dijangka turun naik berikutan pelabur meneliti landskap pasca pilihan raya Sabah serta kemungkinan rombakan kabinet.
Langkah ini berpotensi digunakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengukuhkan hubungan Persekutuan-Sabah dan menzahirkan keterangkuman yang lebih luas dalam dinamik politik semasa.
“Pilihan raya Sabah sudah selesai dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor telah mengangkat sumpah untuk penggal kedua, justeru itu, kerajaan gabungan baharu dijangka lebih selari dengan pentadbiran Kerajaan MADANI dan keutamaan nasional,” katanya.
Hong Leong IB berkata bersandarkan kepada perkembangan ini, ditambah jangkaan meningkat mengenai kemungkinan pemotongan kadar Fed serta musim keputusan kewangan November yang stabil, FBM KLCI dilihat berpeluang naik semula secara teknikal pada Disember.
“Lazimnya, Disember merupakan bulan yang lebih kukuh, selepas dua bulan berturut-turut penyusutan pada Oktober (-2.7 mata) dan November (-4.7 mata),” katanya.
Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank naik 6.0 sen kepada RM9.97, Public Bank menambah 1.0 sen kepada RM4.36, CIMB meningkat 28 sen kepada RM7.93, Tenaga Nasional melonjak 34 sen kepada RM13.52, manakala IHH Healthcare menambah 1.0 sen kepada RM8.27.
Bagi kaunter paling aktif, Tanco menambah 2.0 sen kepada RM1.15, dan TWL naik setengah sen kepada 3.0 sen. Inari Amertron susut 20 sen kepada RM1.99, manakala Zetrix AI dan Perak Transit masing-masing kekal pada 82.5 sen dan 26 sen.
Kaunter untung utama termasuk Nestle, yang meningkat RM1.80 kepada RM108.70, BLD Plantation naik 70 sen kepada RM16.50, Hong Leong Industries bertambah 64 sen kepada RM15.64, Dutch Lady meningkat 40 sen kepada RM30.40, dan Petronas Dagangan mengukuh 60 sen kepada RM20.42.
Antara kaunter rugi utama, PPB Group susut 30 sen kepada RM10.70, Kuala Lumpur Kepong turun 42 sen kepada RM19.78, Can-One merosot 20 sen kepada RM1.65, dan Gamuda berkurangan 13 sen kepada RM5.22.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 85.62 mata kepada 12,001.59, Indeks FBM Emas Syariah menambah 50.57 mata kepada 11,901.47, Indeks FBMT 100 meningkat 89.03 mata kepada 11,790.00, dan Indeks FBM ACE naik 1.22 mata kepada 4,825.84, manakala Indeks FBM Mid 70 susut 39.46 mata kepada 16,816.62.
Dalam sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 210.17 mata kepada 18,786.12, Indeks Tenaga naik 2.15 mata kepada 749.93, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.60 mata kepada 165.63, manakala Indeks Perladangan susut 4.92 mata kepada 8,067.20.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial