PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan MSM Ditutup Bercampur-campur

14/11/2025 10:43 PM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif ditutup bercampur-campur hari ini di tengah-tengah dagangan yang agak berwaspada, walaupun harga minyak soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT) melonjak, kata peniaga minyak sawit David Ng.

Dilaporkan bahawa niaga hadapan kacang soya No.1 ditutup lebih tinggi pada hari Jumaat dalam dagangan siang hari Bursa Komoditi Dalian (DCE), dengan kontrak penghantaran Januari 2026 menokok 93 yuan untuk ditutup pada 4,215 yuan setan.

Ng juga menambah kebimbangan mengenai pengeluaran MSM turut menjejaskan sentimen pasaran, walaupun pakar-pakar industri optimis dengan unjuran harga untuk tahun depan. 

"Kami melihat sokongan pada RM4,100 setan dan rintangan pada RM4,200 setan," katanya kepada Bernama.

Pada penutup, kontrak November 2025 berada pada RM3,935 setan, Disember 2025 menokok RM13 kepada RM4,100 setan dan Januari 2026 naik RM3 kepada RM4,128 setan.

Bagaimanapun, kontrak Februari 2026 berkurangan sebanyak RM8 kepada RM4,145 setan, Mac 2026 merosot RM13 kepada RM4,159 setan dan April 2026 jatuh sebanyak RM14 kepada RM4,167 setan.

Jumlah dagangan susut kepada 92,204 lot berbanding 106,879 lot yang disaksikan semalam, manakala kepentingan terbuka melonjak kepada 269,476 kontrak daripada 265,902 kontrak.

Harga MSM fizikal untuk November Selatan berada pada RM4,080 setan.

-- BERNAMA  

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan