Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan momentum meningkatnya pda Selasa, melonjak 2.32 peratus ke paras tertinggi dalam dua bulan, dipacu oleh sentimen risiko yang kembali pulih berikutan Amerika Syarikat (AS) dan China mengambil keputusan untuk meredakan ketegangan dagangan hujung minggu lepas.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.32 peratus atau 35.89 mata kepada 1,582.39 daripada 1,546.50 ketika ditutup pada Jumaat.
Indeks pasaran utama itu dibuka 14.89 mata lebih tinggi kepada 1,561.39, paras terendah hari ini, sebelum meningkat secara konsisten untuk mencapai paras tertinggi intra hari 1,582.55 pada sesi petang.
Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 874 kepada 323, manakala 408 kaunter tidak berubah, 778 tidak diniagakan dan lapan digantung.
Jumlah dagangan naik kepada 4.16 bilion unit bernilai RM4.48 bilion berbanding kepada 2.94 billion unit bernilai RM1.89 bilion yang dicatatkan Jumaat lepas.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata persetujuan antara AS dan China untuk mengurangkan tarif secara ketara melonjakan keyakinan pelabur, dengan saham tempatan meningkat selepas Bursa Malaysia ditutup pada Isnin kerana cuti Hari Wesak.
“Prospek perdagangan yang lebih baik telah melonjakkan semula keyakinan di seluruh pasaran serantau, meletakkan indeks penanda aras Malaysia pada kedudukan berpotensi untuk kenaikan dalam jangka masa terdekat,” katanya kepada Bernama.
Selain itu, Mohd Sedek berkata data runcit yang menggalakkan juga turut membantu meningkatkan sentimen pasaran, mengukuhkan pandangan bahawa permintaan domestik kekal kukuh.
“Ini membuktikan kekuatan asas ekonomi Malaysia, yang terus menyerap cabaran luar dan membantu pasaran menghadapi tempoh ketidaktentuan global.
“Angka yang kukuh ini menyokong prospek pendapatan bagi saham berkaitan pengguna dan, apabila dilihat bersama dengan meredanya ketegangan perdagangan global telah menyumbang kepada trajektori kenaikan berterusan FBM KLCI hari ini,” katanya.
Antara saham berwajaran tinggi, Maybank menambah 31 sen kepada RM10.20, Public Bank naik enam sen kepada RM4.50, kedua-dua Tenaga Nasional dan IHH Healthcare meningkat empat sen kepada RM14.34 dan RM7.05, manakala MR DIY merosot tiga sen kepada RM1.67.
Bagi saham aktif, MYEG meningkat dua sen kepada 92.5 sen, Inari melonjak 27 sen kepada RM2.21, VS Industry naik 12 sen kepada 91.5 sen, manakala Top Glove jatuh dua sen kepada 84 sen dan Sapura Energy kekal tidak berubah pada 4.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 276.86 mata kepada 11,796.90, Indeks FBMT 100 meraih 274.72 mata kepada 11,560.65, dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 238.10 mata kepada 11,713.86.
Indeks FBM 70 melonjak 448.07 mata kepada 16,761.78 manakala Indeks FBM ACE naik 42.13 mata kepada 4,725.08.
Bagi sektor-sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 520.63 mata kepada 18,575.92, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 4.13 mata kepada 158.57, Indeks Tenaga bertambah 27.71 mata kepada 721.15, dan Indeks Perladangan menambah 109.30 mata kepada 7,355.73.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.15 bilion unit bernilai RM4.15 bilion berbanding 1.22 bilion unit bernilai RM1.59 bilion pada Jumaat lepas.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.64 bilion unit bernilai RM214.76 juta berbanding 1.35 bilion unit bernilai RM209.38 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 365.0 juta unit bernilai RM117.50 juta berbanding 372.11 juta unit bernilai RM100.66 juta pada Jumaat lepas.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna mencatatkan 244.52 juta saham didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (404.07 juta), pembinaan (159.35 juta), teknologi (431.75 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (208.86 juta), hartanah (221.51 juta), perladangan (27.06 juta), REIT (12.81 juta), dana tertutup (185,300), tenaga (164.34 juta), penjagaan kesihatan (107.84 juta), telekomunikasi dan media (65.87 juta), pengangkutan dan logistik (40.85 juta), utiliti (62.91 juta), dan amanah perniagaan (32,900).
Sementara itu, dalam makluman kepada Bursa Malaysia, dagangan sekuriti Sentoria Group Bhd akan dibuka semula mulai 9 pagi pada Rabu, 14 Mei 2025, setelah syarikat itu mengemukakan laporan tahunan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 kepada bursa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial