Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat susulan berita mengenai kemungkinan rundingan perdagangan di antara AS dengan China pada hujung minggu ini mendorong minat terhadap dolar AS.
Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.2970/3005 berbanding dolar AS daripada 4.2780/2830 ketika ditutup pada Khamis.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) mengukuh dalam sesi dagangan baru-baru ini dan terus berlegar sekitar paras 100 mata.
"Data perdagangan China bagi April menunjukkan eksport ke AS menurun sebanyak 21 peratus manakala pertumbuhan eksport China ke ASEAN dan Kesatuan Eropah masing-masing meningkat sebanyak 22.5 peratus dan 8.3 peratus.
"Nampaknya aliran ini akan berterusan sekiranya isu tarif tidak diselesaikan," katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 2.9565/9591 daripada 2.9534/9571 ketika ditutup pada Khamis, merosot berbanding euro kepada 4.8320/8359 daripada 4.8264/8321 dan berkurang berbanding pound Britain kepada 5.7004/7050 daripada 5.6769/6835 sebelumnya.
Mata wang tempatan juga diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding rakan negara ASEAN.
Ringgit melemah berbanding dolar Singapura kepada 3.3095/3124 daripada 3.2984/3025 ketika ditutup pada Khamis, menyusut berbanding rupiah Indonesia kepada 260.0/260.4 daripada 259.2/259.6 dan lebih rendah berbanding peso Filipina kepada 7.74/7.76 daripada 7.69/7.70 sebelumnya.
Bagaimanapun, mata wang tempatan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.0082/0267 daripada 13.0189/0404 sebelumnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial