Ahad, 17 Januari 2021
11/01/2021 07:52 PM

Oleh Nurul Jannah Kamaruddin

KUALA LUMPUR, 11 Jan -- Bursa Malaysia diniagakan rendah sepanjang hari berikutan pelabur berhati-hati dengan menunggu langkah-langkah baharu kerajaan susulan kes COVID-19 tempatan yang melonjak.

Pada penutup, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 15.94 mata kepada 1,617.25 daripada 1,633.19 semasa ditutup pada Jumaat; berada antara 1,607.53 dan 1,627.22 sepanjang hari.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 650 berbanding 490, manakala 481 kaunter tidak berubah, 463 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 6.63 bilion unit bernilai RM5.56 bilion daripada 10.03 bilion unit bernilai RM7.16 bilion pada Jumaat. 

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadualkan membuat pengumuman khas mengenai langkah-langkah yang akan dilaksanakan oleh kerajaan untuk membendung kes COVID-19 yang meningkat pada 6 petang hari ini.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata jika kerajaan membuat keputusan untuk mengadakan sekatan pergerakan, FBM KLCI dijangka merosot di bawah paras 1,600 mata.

“Indeks FBM KLCI hanya susut sebanyak 1.0 peratus berikutan pelabur memutuskan untuk menyimpan keuntungan selepas meningkat pada Jumaat, selain kemungkinan sekatan pergerakan yang lebih ketat yang boleh mengehadkan pemulihan ekonomi Malaysia pada 2021,” katanya.

Beliau berkata kaunter sarung tangan getah seperti Top Glove, Hartalega dan Supermax ditutup dalam julat negatif, menyebabkan Indeks Kesihatan Bursa Malaysia susut 0.7 peratus.

Sementara itu, kaunter perladangan seperti KLK, PPB Group dan Sime Darby Plantation meningkat, didorong oleh data stok Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang terkini.

Adam berkata stok minyak sawit mentah (MSM) merosot 19.2 peratus kepada 583,761 tan pada Disember 2020 daripada 722,451 tan pada November 2020.

“Inventori MSM yang semakin berkurangan menunjukkan terdapat kemungkinan harga meningkat, menarik minat belian dalam sektor tersebut.

“Indeks Perladangan Bursa Malaysia turut naik sebanyak 0.9 peratus,” katanya.

Sementara itu, seorang penganalisis berkata data pekerjaan dan pengeluaran yang tidak begitu optimis bagi November 2020, yang diumumkan hari ini, turut mempengaruhi sentimen.

Awal hari ini, Jabatan Perangkaan Malaysia mengumumkan kadar pengangguran negara naik kepada 4.8 peratus pada November 2020 daripada 4.7 peratus pada Oktober 2020.

Katanya dengan situasi ekonomi dan kesihatan yang terus tidak menentu di seluruh dunia dan di negara ini, permintaan terhadap tenaga buruh yang rendah dijangka berterusan pada Disember 2020.

Indeks Pengeluaran Perindustrian susut 2.2 peratus tahun ke tahun pada November 2020 berikutan indeks perlombongan dan elektrik yang rendah.

Dari aspek positif, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan dan Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd hari ini menandatangani perjanjian pembuatan dan pembekalan untuk vaksin COVID-19 syarikat farmaseutikal di Malaysia.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, 21 kaunter ditutup rendah, dengan penurunan diterajui oleh Maybank yang susut 21 sen kepada RM8.19 dan PetChem, merosot 26 sen kepada RM7.30.

TNB berkurangan 28 sen kepada RM10.44, manakala Digi dan Maxis, masing-masing turun 10 sen kepada RM4.16 dan RM5.10.

Hartalega susut 28 sen kepada RM12.22 dan Top Glove merosot tujuh sen kepada RM6.43.

Dalam pada itu, KLK menambah 70 sen kepada RM24.70, Axiata naik 16 sen kepada RM3.63 dan Sime Darby Plantation meningkat empat sen kepada RM5.21. 

Daripada saham cergas, VSolar dan Key Alliance, masing-masing tidak berubah pada empat sen dan lima sen, manakala Bintai Kinden naik 7.5 sen kepada 66.5 sen dan AT Systematization susut 1.5 sen kepada 17.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 88.97 mata kepada 11,548.48, Indeks FBMT 100 berkurangan 94.75 mata kepada 11,313.06, dan Indeks FBM Emas Shariah susut 83.25 mata kepada 13,070.69.

FBM 70 berkurangan 55.03 mata kepada 14,433.08 dan FBM ACE jatuh 138.37 mata kepada 10,359.04.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 176.70 mata kepada 14,831.41 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 2.58 mata kepada 172.00 manakala Indeks Perladangan naik 65.28 mata kepada 7,483.57.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 3.59 bilion saham bernilai RM4.38 bilion daripada 5.61 bilion saham bernilai RM5.56 bilion pada Jumaat. 

Jumlah dagangan waran merosot kepada 626.78 juta unit bernilai RM99.08 juta daripada 703.01 juta unit bernilai RM100.81 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 2.41 bilion saham bernilai RM1.1 bilion daripada 3.72 bilion saham bernilai RM1.2 bilion sebelum ini.

Barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 554.26 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (1.35 bilion), pembinaan (198.30 juta), teknologi (224.91 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (69.24 juta), hartanah (361.33 juta), perladangan (71.33 juta), REIT (13.17 juta), dana tertutup (20,300), tenaga (335.30 juta), penjagaan kesihatan (232.64 juta), telekomunikasi dan media (58.59 juta), pengangkutan dan logistik (88.74 juta) dan utiliti (34.54 juta).

-- BERNAMA

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan