Isnin, 18 Januari 2021
09/01/2021 10:31 AM

Oleh Sharifah Pirdaus Syed Ali

KUALA LUMPUR, 9 Jan -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka kekal lengang minggu depan berikutan pelabur mungkin tidak memasuki pasaran sementara menunggu pemangkin baharu, kata peniaga.

Peniaga Phillip Futures Sdn Bhd Muhammad Fawwaz Zakaria berkata, bagaimanapun emas tempatan akan mengambil isyarat daripada niaga hadapan emas COMEX Amerika Syarikat (AS).

“Niaga hadapan emas COMEX berada di bawah tekanan pada Jumaat berikutan peningkatan hasil Perbendaharaan terus menjadikan dolar US sebagai aset yang lebih menarik, melemahkan permintaan ke atas aset dalam denominasi dolar.

“Untuk minggu depan, pasaran niaga hadapan emas diunjurkan meneruskan penyusutan ketika dolar US mengukuh berikutan jangkaan ke atas rangsangan fiskal tambahan selepas Demokrat berjaya menguasai Senat,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Strategi Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata kenaikan dolar US baru-baru ini, hasil yang lebih tinggi dan peningkatan ekuiti meletakkan emas pada tahap bertahan.

Katanya, bagi minggu baru berakhir, logam kuning itu menjadi lebih perlahan pada Jumaat dengan pertengahan minggu yang tidak memberangsangkan dan menunjukkan harga lebih rendah, dengan US$1,900 seauns sebagai sokongan.

“Sementara itu, keluk hasil Perbendaharaan AS bagi dua tahun/10 tahun meningkat kepada paras yang kali terakhir dicatatkan tiga tahun lepas dan bersandarkan keyakinan ini, emas mungkin bergelut untuk bergerak lebih tinggi,” katanya.

Bagi asas Jumaat ke Khamis, niaga hadapan emas di Bursa Malaysia bagi Januari 2021, Febuari 2021, Mac 2021 dan Jun 2021 masing-masing tidak berubah pada RM235.60, RM233.60, RM233.60 dan RM233.60 segram.

Jumlah dagangan mingguan sifar manakala kepentingan terbuka susut kepada 15 daripada 24 kontrak sebelum ini.

Sementara itu, harga emas fizikal naik 13 sen kepada RM236.79 segram daripada RM236.66 segram minggu lepas.

-- BERNAMA

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan