Rabu, 27 Mei 2020
PASARAN
23/05/2020 10:11 AM

Oleh Niam Seet Wei

KUALA LUMPUR, 23 Mei  -- Bursa Malaysia dijangka bergerak di antara paras 1,420 dengan 1,450 minggu depan, disokong oleh pembelian secara bergilir-gilir antara kaunter sarung tangan getah dan logistik.

Naib Presiden (Penyelidikan) Rakuten Trade Sdn Bhd, Vincent Lau berkata, berdasarkan perkembangan vaksin COVID-19 yang masih samar, saham sarung tangan getah dijangka terus menjadi tumpuan minggu depan.

Beliau berkata dagangan aktif GDex pada Jumaat juga dijangka memberi kesan limpahan minggu depan.

“Bagaimanapun, faktor luaran, terutama ketegangan meningkat di antara Amerika Syarikat dengan China, akan terus mempengaruhi sentimen pelabur,” katanya kepada Bernama.

Ketika ditanya sama ada minggu dagangan singkat akan datang susulan cuti umum sempena Aidilfitri akan memberi implikasi terhadap minat belian pelabur, beliau menolak pandangan itu.

Lau berkata pelabur, yang mungkin selesa berada di rumah susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, akan terus berminat untuk melabur melalui platform dalam talian.

Bursa Malaysia Bhd dan anak-anak syarikatnya tidak beroperasi pada Isnin dan Selasa minggu depan susulan cuti umum sempena Aidilfitri yang jatuh pada Ahad.

Dagangan akan disambung semula pada Rabu, 27 Mei, 2020.

Sepanjang minggu ini, pasaran diniagakan kebanyakannya tinggi, dengan jumlah dagangan mencecah paras tertinggi sepanjang masa iaitu 11.21 bilion unit, disokong oleh minat belian yang memberangsangkan daripada peserta runcit di tengah-tengah Kadar Dasar Semalaman lebih rendah iaitu 2.0 peratus.

Pada Khamis, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencapai paras tertinggi dalam tempoh dua bulan pada 1,452.11, dengan kaunter sarung tangan getah dan tenaga terus meraih tarikan dalam keadaan perkembangan vaksin COVID-19 yang masih samar dan peningkatan kecil harga minyak mentah.

Bagaimanapun, kenaikan indeks utama dihadkan oleh pengambilan untung pada Jumaat menjelang Aidilfitri, selepas meningkat kira-kira lima peratus sejak permulaan minggu lepas.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, indeks itu meningkat 33.32 mata untuk ditutup pada 1,436.76 minggu ini.

Di papan skor, Indeks FBM Emas naik 309.06 mata kepada 10,177.12, Indeks FBMT 100 meningkat 309.21 mata kepada 10,025.32 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 486.29 mata kepada 11,620.34.

FBM 70 melonjak 703.75 mata kepada 12,695.16 tetapi Indeks FBM ACE turun 2.31 mata kepada 5,387.79.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 3.51 mata kepada 12,439, Indeks Perladangan meningkat 525.69 mata kepada 6,722.85, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 113.52 mata kepada 12,380.73.

Bagi minggu yang baru berakhir, jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 41.29 bilion unit bernilai RM21.53 bilion daripada 32.22 bilion unit bernilai RM16.74 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 30.09 bilion saham bernilai RM18.77 bilion daripada 18.74 bilion saham bernilai RM13.12 bilion.

Jumlah dagangan waran pula menambah lebih sekali ganda kepada 3.16 bilion unit bernilai RM643.55 juta daripada 1.69 bilion unit bernilai RM381.52 juta pada minggu lepas.

Bagaimanapun, jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 8.02 bilion saham bernilai RM2.11 bilion daripada 11.82 bilion saham bernilai RM3.23 bilion.

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan