Rabu, 27 Mei 2020
PASARAN
23/05/2020 10:10 AM

Oleh Aishah Mohmad Afandi

KUALA LUMPUR, 23 Mei -- Ringgit dijangka diniagakan tidak banyak berubah minggu depan, menjejaki prestasi mata wang negara pesat membangun berikutan ketegangan di antara Washington dengan Beijing meningkat seiring dengan kebimbangan terhadap kemelesetan.

Penganalisis berkata faktor itu, ditambah dengan kelembapan ekonomi global, krisis kesihatan akibat pandemik COVID-19 yang berterusan serta turun naik harga minyak mentah, akan memberi tekanan kepada mata wang tempatan.

Beliau berkata penurunan ketara Indeks Pelopor bagi Mac 2020, yang terbesar sejak November 1991, akan terus memberi tekanan pada ringgit.

Jabatan Perangkaan semalam berkata berdasarkan krisis ekonomi global yang berlaku sebelum ini, ia mendapati jangkaan IP untuk empat hingga enam bulan akan datang mencerminkan realiti kemelesetan ekonomi yang bakal berlaku.

Penganalisis itu berkata ringgit mungkin mencecah asas 4.40 minggu depan berikutan kebimbangan mengenai kemelesetan dan memuncaknya kemelut perdagangan China-AS.

Beliau berkata AS telah sedia mengalami kemelesetan yang teruk kerana pengangguran meningkat disebabkan kesan COVID-19 yang turut mendorong krisis gadai janji bertambah.

“Krisis ekonomi global akan berlaku dan kini kita berada di cerun itu. Ketegangan perdagangan akan memburukkan lagi keadaan tersebut,” katanya.

Pasaran akan ditutup pada Isnin dan Selasa ini susulan cuti umum sempena sambutan Aidilfitri yang jatuh pada Ahad.

Dagangan akan disambung semula pada Rabu.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit mula mencatatkan momentum meningkat susulan Malaysia berjaya mengekang penularan wabak COVID-19 dengan jumlah pesakit yang pulih lebih ramai.

Bagaimanapun ringgit mencatatkan prestasi sebaliknya pada Khamis, selepas Presiden AS Donald Trump, menerusi beberapa ciapannya di laman Twitter, mendakwa Presiden China, Xi Jinping merupakan individu di sebalik serangan ‘maklumat palsu dan propaganda’ ke atas AS dan Eropah, mengakibatkan perjanjian perdagangan yang dimeterai pada pertengahan Januari itu berdepan risiko menemui kegagalan.

China, melalui perdana menterinya, mengulangi komitmen untuk melaksanakan fasa pertama perjanjian perdagangan dengan AS namun COVID-19 mengganggu perkembangan itu sekali gus wujud ketegangan di antara kedua-dua ekonomi terbesar dunia itu.

Berdasarkan mingguan, ringgit ditutup rendah kebanyakannya berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan susut berbanding dolar AS kepada 4.3610/3690 pada Jumaat daripada 4.3480/3540 pada minggu lepas.

Ringgit rendah berbanding euro kepada 4.7562/7667 daripada 4.7011/7084 dan naik berbanding yen Jepun kepada 4.0567/0653 daripada 4.0605/0673 minggu lepas.

Ia juga turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0638/0698 daripada 3.0542/0591 minggu lepas dan lemah berbanding pound Britain kepada 5.3078/3118 daripada 5.3067/3154.

-- BERNAMA

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan