JENAYAH & MAHKAMAH

Empat Individu Ditahan Melibatkan Kes Samun, Ragut

24/05/2026 01:12 PM

NILAI, 24 Mei (Bernama) -- Polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita kerana disyaki terlibat dalam kes samun dan ragut di Tangkak, Johor dalam satu operasi di kawasan Dataran Nilai, Putra Point di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Johari Yahya berkata kesemua suspek warga tempatan berusia 22 hingga 28 tahun itu ditahan selepas cuba melarikan diri hingga berlaku pergelutan sebelum diberkas polis.

Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut pihak polis merampas dua kenderaan termasuk  Perodua Myvi yang dipercayai digunakan semasa melakukan jenayah samun.

“Polis turut merampas beberapa unit telefon bimbit dan barangan lain dipercayai berkaitan dengan kes disiasat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Johari turut menafikan berlaku insiden melepaskan tembakan seperti tular satu video di media sosial berkaitan operasi tangkapan berkenaan.

Beliau berkata tiada tembakan dilepaskan, operasi tersebut hanya melibatkan tindakan menahan suspek yang cuba melarikan diri sebelum kesemua suspek ditahan.

Johari berkata kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau membuat spekulasi berkaitan video tular berkenaan yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

Semalam, tular di media sosial Threads mengenai kejadian tembak menembak membabitkan polis dan penjenayah di Dataran Nilai sehingga menyebabkan cermin kereta suspek berlubang akibat ditembak.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan