Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Sebuah firma strategik Malaysian kini menjadi penghubung antara Malaysia dan pasaran Rusia-Komanwel Negara-Negara Merdeka (CIS), bertujuan membuka peluang pelaburan rentas sempadan sambil memperkukuh peranan Malaysia sebagai gerbang strategik ke Asia Tenggara.
Pengasas Strarion Advisory Sdn Bhd Anderson Chua berkata kerjasama strategik terbaharu firma itu yang diraih ketika Forum Ekonomi Antarabangsa ke-17 Rusia-Dunia Islam: KazanForum 2026 baru-baru ini, menjadi asas bagi inisiatif jangka panjang untuk memudah cara kesalinghubungan pelaburan, pembangunan ekosistem dan peluang pengembangan perniagaan antara rantau terbabit.
Persetujuan itu dicapai dengan pihak Dana Pelaburan dan Modal Teroka Republik Tatarstan (IVF RT), sebuah institusi pelaburan disokong kerajaan pada acara KazanForum 2026 yang berlangsung pada 12 hingga 17 Mei, 2026.
KazanForum berperanan sebagai platform untuk memperkukuh hubungan perdagangan, ekonomi, saintifik, teknikal, sosial dan budaya antara Rusia dan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Reputasi Malaysia asas kukuh, peluang kerjasama meluas
Tidak seperti pengaturan komersial perniagaan-kepada-perniagaan secara konvensional sebelum ini, Chua berkata kerjasama dengan IVF menyediakan rangka kerja institusi bertujuan memudah cara aspek penglibatan rentas sempadan jangka panjang, pertukaran pengetahuan dan pembangunan ekosistem antara kedua-dua rantau.
“Kami sentiasa meletakkan Malaysia sebagai gerbang strategik ke Asia Tenggara,” katanya dalam wawancara eksklusif dengan Bernama.
Chua berkata rangka kerja tadbir urus Malaysia, aspek ekosistem kewangan Islam, keupayaan halal serta kekuatan kawal selia, menjadi asas kukuh untuk menempatkan negara sebagai hab pelaburan dan pengembangan perniagaan bagi syarikat yang mahu menembusi pasaran ASEAN.
Pada masa sama, katanya, ekosistem Malaysia yang merangkumi tadbir urus Syariah, perbankan Islam, sukuk, pengurusan aset serta piawaian halal diiktiraf antarabangsa, juga dapat menyokong peluang kerjasama lebih meluas yang melibatkan Rusia dan ekonomi CIS.
“Malaysia adalah antara negara terkemuka dari segi kerangka Syariah dan kewangan Islam. Tidak ketinggalan piawaian halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau menganggap pasaran Rusia dan CIS masih belum diteroka sepenuhnya oleh perniagaan Malaysia berbanding destinasi perdagangan tradisional, walaupun terdapat peluang membabitkan bidang teknologi yang mendalam, penjagaan kesihatan, hidrogen, teknologi air serta sektor pelaburan strategik.
“Peluang ini amat bermakna serta bersifat jangka panjang. Rusia dan CIS boleh menawarkan potensi kukuh bagi kerjasama dengan perusahaan Malaysia,” katanya.
Chua berkata antara keutamaan bagi tempoh 12 bulan akan datang adalah menyentuh usaha bagi memperkukuh kefahaman terhadap aspek peraturan, menyelaras keperluan pasaran serta mewujudkan rangka kerja berdaya maju dari segi komersial bagi memudahkan inisiatif di masa akan datang.
"Keutamaan pada peringkat ini adalah untuk memastikan inisiatif masa depan berdaya maju secara komersial dan selaras dengan jangkaan pegawalseliaan serta pelabur," katanya.
Aspek lain seperti menjalin kepercayaan dan kerjasama institusi kekal penting dalam usaha menerokai pasaran baharu yang belum diterokai secara meluas, ujar Chua.
Beliau turut menegaskan Strarion memperuntukkan masa lebih dua tahun bagi memupuk persefahaman dan penglibatan sebelum memformalkan kerjasama berkenaan.
"Perlu ada pihak yang mengambil langkah pertama dalam membina ‘jambatan’ di antara kedua-dua wilayah dan kami bersedia untuk mengambil langkah tersebut," katanya.
Berbekalkan pengalaman lebih dua dekad Chua dalam institusi kewangan serta kepimpinan korporat, Strarion beroperasi sebagai firma perunding strategik khusus yang memberi tumpuan kepada rundingan kesediaan tawaran awam permulaan (IPO), penambahbaikan tadbir urus serta perkhidmatan rundingan rentas sempadan.
Firma ini beroperasi berpandukan falsafah terasnya iaitu pelaksanaan yang berdisiplin dan membangunkan rangka kerja proprietari yang dikenali sebagai “Strarion Global Passport”.
Rangka kerja ini direka untuk menstruktur tadbir urus dan ketelusan merentas bidang kuasa bagi menyokong kemasukan serta peluasan pasaran rentas sempadan yang bersedia menerima pelaburan.
Selain daripada tugas perunding rentas sempadan, Strarion turut melaksanakan projek khas termasuk inisiatif pembangunan strategik dan perancangan ekosistem dengan memanfaatkan pengalaman yang diperoleh melalui institusi kewangan dan mandat nasihat.
Strarion tumpu pengembangan pasaran global
Bagi kemajuan masa depan, Chua berkata kerjasama Rusia-CIS akan membentuk antara rangkaian projek utama Strarion pada waktu syarikat itu meluaskan jejak perundingan rentas sempadannya ke koridor pertumbuhan strategik.
Selain daripada pasaran Rusia dan CIS, Chua menyatakan Strarion kini sedang mempergiat perbincangan kerjasama strategik di Afrika Barat khususnya Nigeria apabila firma berkenaan menyifatkan negara tersebut sebagai enjin pertumbuhan berpotensi untuk merangsang peluang ekonomi yang lebih meluas di benua Afrika.
"Kami melihat Nigeria sebagai enjin pertumbuhan utama di Afrika Barat.
“Kami sedang bekerjasama dengan pihak rakan niaga di sana untuk memuktamadkan kerjasama strategik yang akhirnya akan turut memberi manfaat kepada Malaysia,” katanya.
Firma itu juga sedang meneroka peluang di rantau Majlis Kerjasama Teluk (GCC) sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjangnya untuk mewujudkan koridor pertumbuhan antarabangsa yang menghubungkan Malaysia dengan pasaran yang sedang pesat membangun.
Selain berperanan sebagai perunding rentas sempadan, Chua berkata Strarion sedang giat mengenal pasti perusahaan tempatan yang memerlukan penambahbaikan tadbir urus serta sokongan strategik untuk mengembangkan operasi dan membuat persediaan bagi penyertaan dalam pasaran modal pada masa hadapan.
Beliau berkata syarikat itu juga menyasarkan untuk memperkukuh saluran syarikat Malaysia yang memasuki Bursa Malaysia, khususnya perusahaan bumiputera melalui struktur tadbir urus yang lebih kukuh serta kesediaan institusi.
“Banyak syarikat mempunyai operasi yang kukuh, namun tadbir urus dan kesediaan institusi menjadi faktor utama apabila mereka mahu berkembang atau meluaskan perniagaan ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau menambah kerjasama yang lebih kukuh antara perniagaan, firma perunding khusus dan pihak berkepentingan dalam ekosistem boleh terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk serantau yang menghubungkan ASEAN dengan pasaran pertumbuhan baharu di luar koridor perdagangan tradisional.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial