AM

KKDW Baik Pulih, Bina Baharu 100 Rumah PPRS Di Setiap Dun Sabah Tahun Depan - Ahmad Zahid

14/11/2025 10:45 PM

TUARAN, 14 Nov (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan membaik pulih dan membina baharu 100 unit rumah di setiap Dewan Undangan Negeri  (DUN) di Sabah menerusi Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata ini sebagai simbol komitmen kerajaan Persekutuan dalam usaha memperkukuh kesejahteraan perumahan desa di Sabah.

Ahmad Zahid berkata sepanjang 2025, Sabah telah menerima peruntukan RM136.02 juta di bawah PPRS melibatkan 852 unit bina baharu dan 2,729 unit baik pulih. 

"Daripada jumlah itu, Parlimen Tuaran menerima RM6.591 juta bagi 43 unit bina baharu dan 123 unit baik pulih," katanya ketika berucap melancarkan Program Sentuhan Kasih Desa @ Tuaran di Pusat Latihan RELA di sini, malam ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha KKDW Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar dan Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Mohd Razali Wahab.

Mengenai Sentuhan Kasih Desa, Ahmad Zahid berkata ia merupakan inisiatif pemerkasaan ekonomi usahawan luar bandar KKDW menerusi promosi jualan usahawan, akses khidmat sokongan dan pendedahan peluang pasaran lebih luas.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, kementerian telah memainkan peranan signifikan dalam  mentransformasi pembangunan luar bandar di seluruh negara khususnya Sabah ke arah yang lebih maju menerusi peruntukan besar oleh kerajaan Persekutuan.

"Peruntukan untuk Sabah dalam Belanjawan 2026 tahun depan, Sabah mendapat peruntukan besar berbanding negeri lain kerana kerajaan Persekutuan melalui KKDW dan kementerian lain amat prihatin terhadap negeri ini kerana masalah Sabah mesti diselesaikan," katanya.

Pada program itu, Ahmad Zahid turut menyerahkan cek replika kepada wakil penerima geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar bernilai RM1.521 juta yang memberi manfaat kepada 288 usahawan di Sabah bagi tempoh 2023 hingga 31 Okt 2025.

Ia bertujuan meningkatkan kapasiti, penjenamaan dan kebolehpasaran produk tempatan sekali gus memperkasakan daya saing usahawan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan