AM

Reformasi Perkeso Pastikan Perlindungan Menyeluruh Pekerja Tetap, Gig Dan Migran

13/11/2025 11:16 PM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) terus melaksanakan reformasi menyeluruh bagi memperkukuh perlindungan sosial untuk semua pencarum, termasuk pekerja gig dan tenaga kerja asing.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata dalam tempoh dua tahun, sebanyak 10 reformasi utama telah dilaksanakan bagi memastikan kebajikan pencarum dilindungi dengan lebih menyeluruh.

“Reformasi ini berpaksikan tiga keutamaan KESUMA iaitu kebajikan, kemahiran dan keberhasilan (3K). Semua usaha ini bertujuan memastikan setiap pencarum tidak kira pekerja tetap, migran atau gig mendapat perlindungan yang adil dan menyeluruh,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Media Perkeso 2025 iLINDUNGu, di sini malam ini.

Antara reformasi utama katanya ialah kenaikan manfaat pencarum sebanyak 20 peratus, peningkatan faedah kematian daripada RM2,000 kepada RM3,000, serta perluasan Skim Keilatan kepada pekerja asing.

Beliau berkata Perkeso juga kini melaksanakan rawatan tanpa bayaran pendahuluan di lebih 1,400 klinik panel, mempercepat proses kelulusan bantuan dialisis daripada 40 hari kepada tujuh hari serta meningkatkan subsidi dialisis daripada RM150 kepada RM170 setiap sesi.

Selain itu, katanya dalam RUU Pekerja GIG yang telah dibentang di Parlimen sebelum ini, pekerja media sambilan seperti pekerja bebas (freelancer), jurugambar, juruvideo, pemberita sambilan (stringer) juga akan dimasukkan untuk mendapat perlindungan Perkeso sebagai penghargaan atas peranan mereka.

Steven berkata pada masa sama Elaun Mobiliti RM1,000 turut diberikan kepada pencari kerja yang memperoleh pekerjaan lebih 100 kilometer dari tempat tinggal sebagai tambahan di bawah Skim Insurans Pekerjaan (SIP).

“Langkah-langkah ini adalah pengubah keadaan (game changer) dalam sistem perlindungan sosial negara. Kita bukan sahaja menambah manfaat tetapi juga memperkukuh jaringan keselamatan untuk setiap pekerja yang mencarum,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga Perkeso dan rakan media yang memainkan peranan penting menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat, sekali gus membantu menjayakan agenda reformasi sosial kerajaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan