EKONOMI

U Mobile Naik Taraf 2,976 Tapak Ke Liputan 5G Setakat 31 Oktober

12/11/2025 10:22 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) --  U Mobile Sdn Bhd telah menaik taraf 2,976 tapak ke liputan 5G yang memberikan 58.2 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk setakat 31 Oktober tahun ini, kata Kementerian Komunikasi.

Di samping itu, sebanyak 11 bangunan telah dilengkapkan dengan infrastruktur 5G dan tapak-tapak tersebut akan mula beroperasi secara berperingkat mengikut jadual pelaksanaan, menandakan fasa pelaksanaan aktif dalam peluasan rangkaian 5G negara, kementerian itu berkata menerusi jawapan bertulis di laman sesawang parlimen hari ini.

Kementerian tersebut menjawab soalan Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) yang bertanyakan perkembangan terkini dalam rangkaian 5G di seluruh negara selepas pelantikan U-Mobile pada awal 2025 serta status terkini pemegang saham utama dalam syarikat tersebut.

Kementerian tersebut turut berkata pendekatan dwi rangkaian 5G telah memberi lebih banyak persaingan dalam landskap telekomunikasi, seterusnya, mendorong inovasi dan peningkatan kualiti perkhidmatan.

“Dengan adanya rangkaian 5G kedua yang dibangunkan oleh U Mobile, Malaysia dapat mempelbagaikan pilihan perkhidmatan, memastikan pengguna mempunyai akses kepada harga yang lebih kompetitif serta liputan yang lebih baik,” katanya lagi.

Langkah ini penting untuk merapatkan jurang digital dan memacu pertumbuhan ekonomi melalui infrastruktur digital yang lebih baik termasuk jangkauan yang lebih meluas, terutama di kawasan luar bandar yang kurang mendapat perkhidmatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan