EKONOMI

Kutipan Duti Import, Eksais Kenderaan Bermotor Dan Alat Ganti Berjumlah RM26 Bilion - MOF

12/11/2025 10:11 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Jumlah keseluruhan kutipan duti import dan duti eksais bagi kenderaan bermotor serta alat ganti kenderaan bermotor bagi tempoh 2022 hingga 2024 adalah sebanyak RM26.47 bilion, kata Kementerian Kewangan. 

Kementerian itu berkata daripada jumlah tersebut, kutipan duti import dan duti eksais bagi kenderaan bermotor adalah sebanyak RM25.15 bilion, manakala jumlah kutipan duti bagi alat ganti kenderaan bermotor sebanyak RM1.32 bilion. 

"Duti import dan duti eksais merupakan hasil cukai tidak langsung yang dikutip oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia berdasarkan peruntukan di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976. 

"Hasil kutipan duti tersebut juga disalurkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan dan digunakan untuk membiayai pelbagai program dan projek pembangunan serta perbelanjaan mengurus kerajaan," kata Kementerian Kewangan menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen, hari ini.

Kementerian Kewangan berkata demikian sebagai menjawab soalan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) yang bertanyakan jumlah kutipan cukai jalan bagi tahun 2022, 2023 dan 2024 serta jumlah kutipan cukai import dan duti eksais ke atas kenderaan dan komponen kenderaan bagi tempoh tahun yang sama.  

Dalam pada itu, kementerian tersebut turut memaklumkan berdasarkan maklumat yang diterima daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), jumlah kutipan bayaran Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi tempoh 2022 hingga 2024 adalah sebanyak RM9.83 bilion.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan