SHAH ALAM, 12 Nov (Bernama) -- Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menjalin kerjasama strategik dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi memperkukuh kefahaman berkenaan pengurusan harta dan kewangan berlandaskan syariah kepada masyarakat Islam di negeri ini.
Pengerusi MAIS Datuk Salehuddin Saidin berkata MAIS merekodkan kutipan Wang Tidak Patuh Syariah sebanyak RM2.7 juta tahun lepas, yang menunjukkan terdapat ramai dalam kalangan masyarakat di Selangor terlibat dengan sumber kewangan tidak berlandaskan syariah.
Beliau berkata melalui kerjasama strategik itu, kedua-dua pihak akan melaksanakan pelbagai inisiatif bersama berkaitan kepentingan pengurusan kewangan berlandaskan syariah selain memperluas kefahaman masyarakat Islam dalam memperkasakan ekonomi umat Islam dan kesedaran memiliki harta yang patuh syariah.
"Dengan kerjasama ini, MAIS akan menawarkan kursus pengurusan harta pusaka Islam kepada anggota KWSP, khususnya anggota barisan hadapan di cawangan KWSP melalui Akademi Baitulmal MAIS, mempromosikan Simpanan Shariah KWSP dan kewajipan membuat penamaan untuk simpanan KWSP semasa khutbah Jumaat di masjid-masjid di negeri Selangor.
“Kita juga akan mengadakan promosi secara bersama untuk mempromosikan produk atau perkhidmatan Baitulmal MAIS melalui program dan kursus anjuran MAIS serta KWSP selain menganjurkan taklimat atau bengkel berhubung kelayakan MAIS sebagai penama bagi ahli KWSP yang beragama Islam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MAIS dan KWSP yang turut dihadiri Pengerusi KWSP Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Salehuddin berkata sebagai langkah meningkatkan kesedaran masyarakat, MAIS menyasarkan kutipan Wang Tidak Patuh Syariah sebanyak RM3 juta tahun ini, selain menggalakkan masyarakat Islam menyalurkan hasil tersebut kepada MAIS untuk dimanfaatkan bagi kepentingan ummah.
Beliau berkata Wang Tidak Patuh Syariah adalah wang atau harta yang diperoleh daripada sumber haram seperti transaksi riba, dividen tidak patuh syariah, hasil jualan barang curi atau rompakan, duit rasuah dan loteri serta perlindungan insurans konvensional.
“Saya melihat masih banyak ruang yang perlu diperhalusi masyarakat dalam memastikan harta yang diperoleh adalah patuh syariah dan berharap mereka yang masih mencarum dalam Simpanan Konvensional KWSP untuk menukarkan kepada Simpanan Shariah agar dividen yang diperoleh adalah patuh syariah dan halal," katanya.
Sementara itu, Mohd Zuki berkata daripada lebih 1.55 juta ahli KWSP beragama Islam di Selangor, hanya 542,844 atau 34.81 peratus sahaja yang berdaftar di bawah Simpanan Shariah KWSP.
“Angka ini menunjukkan ruang yang masih luas untuk kita tingkatkan penyertaan, terutamanya melalui kerjasama strategik bersama MAIS memandangkan majoriti umat Islam di Selangor berada dalam capaian pelbagai program sosial dan ekonomi yang diuruskan MAIS,” katanya.
Terdahulu, MoU itu ditandatangani oleh Setiausaha MAIS Mohd Sabirin Mohd Sarbini dan Ketua Pegawai Operasi KWSP Sazaliza Zainuddin sambil disaksikan Salehuddin dan Mohd Zuki.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial