POLITIK

Redonah Anggap Perbezaan Politik Dalam Keluarga Lambang Kematangan Berdemokrasi

12/11/2025 03:37 PM

Oleh Muhammad Saufee Rosman dan Siti Baaqiah Mamat

KOTA KINABALU, 12 Nov (Bernama) -- Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau Datuk Redonah Bahanda melihat perbezaan fahaman politik dalam keluarganya bukan sebagai jurang pemisah, sebaliknya lambang kematangan dan kharmonian politik.

Timbalan Ketua Wanita GRS yang kali pertama bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 itu berkata menjaga hubungan baik dengan keluarga menjadi keutamaan meskipun dua abangnya yang turut bertanding pada PRN kali ini mempunyai haluan politik berbeza.

“Silaturahim itu sangat penting bagi saya. Walaupun berbeza parti, hubungan kekeluargaan tetap perlu dijaga. Bila di sana (akhirat) nanti, kita tidak ditanya tentang parti mana kita wakili tetapi bagaimana hubungan kita antara manusia di dunia ini,” katanya ketika ditemui Bernama selepas Majlis Pengumuman Calon GRS di sini hari ini.

Dua abangnya iaitu Datuk Wetrom Bahanda dari parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang juga penyandang DUN Bandau manakala Verdon Bahanda dijangka bertanding di Tanjong Kapor atas tiket calon bebas.

Wetrom sebelum ini telah mengesahkan bertanding di kerusi DUN Matunggong.

Redonah mengakui wujud tekanan apabila berdepan situasi adik-beradik berada di gelanggang politik berbeza namun menegaskan komitmen dan amanah terhadap parti tetap menjadi keutamaan.

“Paling penting, kita berkempen secara berhemah dan mengekalkan hubungan baik sesama keluarga serta masyarakat. Di Sabah ini berbeza sedikit, kita masih boleh duduk semeja walaupun parti lain-lain,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor kerana memberi ruang kepada calon wanita untuk turut serta dalam PRN Sabah ke-17.

“Saya membawa suara seluruh wanita daripada 73 bahagian di Sabah, bukan sahaja suara wanita GRS tetapi suara mereka yang mahukan wakil wanita dalam kepimpinan negeri,” katanya.

Terdahulu, Hajiji mengumumkan GRS akan bertanding 55 daripada 73 DUN pada PRN Sabah ke-17, pada 29 Nov dengan hari penamaan calon berlangsung Sabtu ini.

Sementara itu, calon GRS bagi DUN Sungai Manila Hazem Mubarak Musa berkata hasratnya bertanding di kawasan itu adalah bagi meneruskan legasi Allahyarham Tun Sakaran Dandai kerana masih banyak perkara perlu dilaksanakan khususnya melibatkan pembangunan infrastruktur seperti jalan raya dan bekalan air.

“Saya sudah lama aktif dalam politik tetapi apabila dilantik sebagai Ketua Bahagian Parti Gagagsan Rakyat Sabah (PGRS) tiga tahun lepas, di situlah saya mula turun padang. Kami telah melakukan yang terbaik selama tiga tahun mendekati rakyat dan mendengar masalah rakyat,” katanya yang juga usahawan dalam bidang perniagaan sawit. 

Mengenai nasihat bapanya, Yang di-Pertua Negeri Sabah tun Musa Aman, Hazem Mubarak berkata beliau sentiasa diingatkan tentang pentingnya bekerja keras, membela nasib rakyat dan peka terhadap suara serta keluhan mereka.

Hazem Mubarak turut menegaskan bahawa pengalaman keluarga bukanlah kelebihan mutlak dalam perjuangan politik, sebaliknya kejayaan perlu dibina atas usaha sendiri, bukan bergantung kepada nama besar atau hubungan keluarga.

“Paling penting ialah keupayaan calon bekerja untuk rakyat, membawa pembaharuan dan memperbaiki kehidupan  masyarakat di kawasan masing-masing,” katanya yang menghormati pendirian bapanya, yang kekal neutral dalam hal politik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan