AM

Pembangunan Bank Data Kebangsaan Antara tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini 

12/11/2025 08:48 AM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Pembangunan Bank Data Kebangsaan serta tempoh masa pelaksanaannya menjadi antara tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Datuk Dr Ku Abd Rahman (PN-Kubang Pasu) meminta Menteri Digital menjelaskan tempoh masa yang diperlukan untuk membangunkan sistem berkenaan dan jangkaan ia beroperasi sepenuhnya.

Beliau turut ingin mengetahui mengenai protokol yang dilaksanakan bagi memastikan kualiti data, keselamatan, privasi dan interoperability (saling kendali) sistem itu pada sesi soal jawab lisan. 

Pada sesi sama, Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) bertanyakan kepada Menteri Komunikasi mengenai langkah yang akan diambil bagi mempertahankan imej kerajaan yang dikatakan tidak dapat mengawal media yang didakwa memburukkan pemimpin dan pentadbiran.

Turut menarik perhatian, soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) kepada Menteri Kewangan berhubung penjualan diesel.

Beliau ingin tahu sama ada berlaku pengurangan jualan diesel di Semenanjung Malaysia serta jumlah penjimatan yang telah dicapai oleh kerajaan susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel sejak Jun 2024.

Selepas sesi soal jawab, mesyuarat Dewan Rakyat diteruskan dengan menyambung semula perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di peringkat jawatankuasa. 

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat berlangsung selama 35 hari hingga 4 Dis ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan