KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyeru supaya berlaku anjakan paradigma dalam dasar awam, dengan menggesa negara agar tidak lagi melihat isu umur panjang sekadar satu trend demografi.
Dalam ucaptama pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2025 di sini, Anwar berkata dasar awam perlu mengiktiraf umur panjang sebagai satu bentuk transformasi struktur yang menuntut pelaksanaan reformasi proaktif dalam sistem penjagaan kesihatan, perlindungan sosial dan perancangan ekonomi.
“Untuk menjadi peneraju yang bersifat inisiatif, kita mesti melabur dalam sistem kesihatan, penjagaan sosial, perumahan, instrumen kewangan dan industri yang menyokong masyarakat menua.
“Ini merupakan satu isyarat jelas agar kita memberi penekanan lebih besar terhadap pelaburan dalam bidang kesihatan, khususnya penjagaan pencegahan, pendidikan kesihatan awam dan sistem sokongan berasaskan komuniti.
“Kita mesti beralih daripada sistem yang merawat penyakit kepada sistem yang mengutamakan kesejahteraan sepanjang hayat,” katanya sambil menambah bahawa ekonomi umur panjang global diunjurkan melebihi US$65 trilion (kira-kira RM275.8 trilion) menjelang 2030.
Perdana Menteri turut menekankan keperluan untuk rakyat Malaysia bukan sekadar hidup lebih lama, tetapi juga menikmati kehidupan yang lebih sihat, memandangkan jangka hayat sihat semasa menunjukkan jurang selama sembilan tahun yang dipenuhi dengan masalah kesihatan, kecacatan atau penurunan kualiti hidup.
Beliau berkata peruntukan sebanyak RM45.3 bilion bagi sektor kesihatan dalam Belanjawan 2025 serta pelaksanaan reformasi menerusi Kertas Putih Kesihatan, termasuk ketelusan harga ubat secara mandatori di fasiliti kesihatan swasta, mencerminkan komitmen kerajaan terhadap perubahan sistemik.
Dalam usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan, Anwar berkata inisiatif Rakan KKM dilihat sebagai pendekatan menyeluruh negara (“whole-of-nation”) yang menggabungkan institusi awam dengan pelabur strategik seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang lain.
“Penglibatan KWSP dan GLIC lain menandakan wujudnya kerjasama awam-swasta yang kukuh, dengan fokus terhadap peningkatan infrastruktur, akses dan kualiti perkhidmatan kesihatan, demi mewujudkan sistem yang mampu menyokong seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Persidangan ISWC 2025 yang bertemakan Hidup Sehingga Seratus: Adakah Kita Bersedia? menghimpunkan pihak berkepentingan merentas pelbagai sektor bagi membincangkan dasar dan strategi untuk menghadapi masa depan berkaitan isu umur panjang di Malaysia.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Pengerusi KWSP Tan Sri Mohd Zuki Ali.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial