POLITIK

Peranan Penting UMNO Bahagian, Cawangan Raih Sokongan Orang Muda - Shamsul Anuar

15/06/2025 04:36 PM

PERMATANG PAUH, 15 Jun (Bernama) -- Kepimpinan UMNO di setiap peringkat perlu memainkan peranan dalam meraih sokongan pengundi berusia bawah 40 tahun agar parti itu menjadi pilihan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. 

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata pengundi muda sangat kritis, terbuka dan dinamik serta inginkan sebuah parti yang terbaik untuk masa depan mereka.

"Kepimpinan UMNO bahagian dan cawangan perlu melihat bagaimana untuk membolehkan UMNO terus menjadi parti yang terbaik, di samping menunjukkan imej yang mampu menarik sokongan orang muda,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Permatang Pauh 2025 di sini hari ini. 

Beliau yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata jika UMNO berjaya mendapatkan sokongan daripada kaum Melayu dan golongan muda, parti itu boleh bangkit untuk menjadi parti dominan di negara ini.

“Dominan ini bermaksud kita harus menang banyak kerusi. Soal agihan kerusi dan soal kerusi mana yang (kita) bertanding, kita serahkan kepada pucuk pimpinan parti," katanya. 

Shamsul Anuar berkata UMNO perlu terus aktif memberi respons kepada masalah rakyat agar kekal menjadi parti yang diingini dan dilihat penting bagi rakyat. 

Dalam tempoh terdekat ini, beliau berkata fokus UMNO adalah untuk mempersiapkan parti dalam semua aspek untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka dan Johor, serta PRU Ke-16 (PRU16). 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan