EKONOMI

Megah Port Pacu Pertumbuhan Ekonomi Labuan Menerusi Inisiatif Maritim Strategik

12/06/2025 07:46 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 12 Jun (Bernama) -- Megah Port Management Sdn Bhd akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi Labuan menerusi kerjasama startegik bagi mengukuhkan sistem logistik, mengembangkan aktiviti pemunggahan kapal-kapal antarabangsa, dan membuka peluang pelaburan dalam rantaian bekalan maritim.

Pengarah Urusan Datuk Seri Patrick Tiong berkata pengendali pelabuhan itu bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan yang relevan, khususnya Perbadanan Labuan.

“Ini termasuk penciptaan pekerjaan, pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana, dan perkhidmatan sokongan berkaitan pelabuhan yang lebih baik.

“Megah Port komited memainkan peranan yang proaktif dalam transformasi Labuan. Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan keupayaan maritim pulau ini, malah mewujudkan limpahan ekonomi yang bermakna untuk rakyatnya," katanya kepada Bernama selepas sesi taklimat prestasi Megah Port dan sumbangannya sebagai pengendali Pelabuhan Labuan.

Taklimat itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Mohd Sukuran Taib.

Dalam pada itu, Tiong berkata Megah Port bersedia mengendalikan kapal pelayaran antarabangsa di pelabuhan itu, yang mendapat sokongan syarikat sekutunya, Sailion Shipping.

Syarikat itu kini menguruskan kapal pelayaran di pelabuhan utama di seluruh Malaysia dan Brunei.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa jeti lama pelabuhan berkenaan memerlukan kerja-kerja pembaikan segera, dan Kementerian Pengangkutan telah meluluskan peruntukan bagi tujuan tersebut.

“Sebaik sahaja jeti dinaik taraf, ia mampu menerima kapal persiaran bersaiz besar. Ini bakal memberi limpahan ekonomi yang ketara kepada Labuan, terutamanya dalam sektor pelancongan.

“Labuan mempunyai potensi besar untuk dimasukkan dalam laluan pelayaran serantau, dan kami sedang menyediakan kemudahan yang diperlukan bagi menyokong inisiatif ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan