LABUAN, 7 Mac (Bernama) -- Penduduk tempatan Sabah dan Labuan yang dikategorikan sebagai ‘Melayu’ dalam sijil kelahiran tapi tidak diiktiraf sebagai ‘Bumiputera’ berdepan kesulitan dalam urusan pemindahan nama khususnya melibatkan Tanah Adat.
Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Romzi Ationg berkata perkara ini telah menimbulkan kesulitan kepada individu yang terlibat terutama dalam aspek pewarisan dan pemilikan tanah.
“Saya telah menerima banyak laporan mengenai individu diiktiraf sebagai Bumiputera oleh Mahkamah Anak Negeri namun permohonan mereka untuk memindahkan Tanah Adat ditolak oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah.
“Satu kes berlaku membabitkan seorang wanita yang lahir di Labuan sebelum menjadi Wilayah Persekutuan.
“Walaupun Mahkamah Anak Negeri Labuan mengiktiraf status Bumiputera itu, permohonannya kepada Pejabat Daerah Kuala Penyu tetap ditolak atas alasan dia dikategorikan Melayu (mengikut Wilayah Persekutuan Labuan) dalam sijil kelahirannya dan tidak memiliki Sijil Taraf Bumiputera. Oleh itu, dia tidak layak diiktiraf sebagai Bumiputera Sabah,” katanya.
Beliau percaya perkara berkenaan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri dan perlu diberi perhatian segera.
“Kami berharap kerajaan dapat menyelaraskan dasar pengiktirafan Bumiputera bagi mengelakkan lebih banyak masalah kepada masyarakat Melayu di Sabah dan Labuan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial