SUKAN

Imbasan CT Tze Liang Normal - Hannah

03/11/2024 10:04 AM

Daripada Muhammad Afiff Md Adnan

NANTONG (China), 3 Nov (Bernama) -- Imbasan CT penerjun negara, Ooi Tze Liang yang mengalami kecederaan semasa final acara papan anjal 3 meter lelaki Terbuka Malaysia di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, semalam, didapati dalam keadaan normal.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata beliau telah menghubungi Tze Liang, 30, yang mengalami luka di kepala selepas terhantuk papan anjal ketika melakukan terjunan kedua.

“Saya telah mesej beliau, dan beliau dalam keadaan baik, boleh membalas mesej saya. Beliau baru sahaja diperiksa doktor, dan doktor mengesahkan imbasan CT adalah normal.

"Perkara itu sangat melegakan. Saya menonton video kejadian itu dan melihat bagaimana mereka segera memberikan rawatan awal. Institut Sukan Negara (ISN) merupakan pihak pertama yang memaklumkan kepada saya, jadi saya telah mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif untuk meneliti bentuk pemulihan yang boleh diberikan kepada beliau," katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Kejohanan Wusyu ASEAN-China, di sini hari ini.

Semasa kejadian, Tze Liang bersaing bersama rakan sepasukan, Muhammad Syafiq Puteh, serta penerjun dari Jepun, New Zealand, Indonesia, Taiwan, dan Singapura. Kecederaan tersebut menyebabkan beliau tidak dapat meneruskan saingan dalam acara itu.

Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MAS) Andy Low,  turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang menunggu maklumat terkini daripada pegawai bertanggungjawab mengenai keadaan Tze Liang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan