AM

Jawatankuasa Kerja Akan Ditubuh Untuk Teliti Ancaman Pencemaran Air - PM

13/09/2024 11:22 PM

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Mesyuarat Majlis Air Negara hari ini bersetuju terhadap keperluan menubuhkan satu jawatankuasa kerja bagi meneliti ancaman pencemaran air di Malaysia dengan melibatkan semua pemegang taruh untuk memastikan masalah itu dapat ditangani segera.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan langkah itu adalah antara strategi bagi meningkatkan pengawalan kualiti air sungai serta pengukuhan pengurusan dan penyelidikan bahan cemar baharu dalam sumber air Malaysia. 

“Banyak implikasi diakibatkan oleh pencemaran air dan ada daripada kesan itu berada di tahap yang membimbangkan.

“Justeru saya tekankan kepentingan penguatkuasaan berdasarkan peraturan dan undang-undang di samping keperluan pemantapan tatakelola serta pengaplikasian teknologi terkini dalam usaha memantapkan kualiti pengurusan air sungai di seluruh negara,” katanya yang mempengerusikan mesyuarat itu di Putrajaya petang tadi.

Beliau berkata Kerajaan MADANI juga akan terus memberi fokus bagi mengurangkan bekalan air tidak berhasil yang masih berada pada tahap yang kurang memuaskan.

Anwar berkata ini penting dalam usaha mengurangkan pembaziran dan memastikan kemampanan sumber air negara.

Mesyuarat Majlis Air Negara adalah platform bagi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri meneliti serta membincangkan pengurusan sumber air negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan