AM

Sunway Malls Cipta Sejarah Menang Enam Anugerah Ppk Malaysia

13/09/2024 10:10 PM

KUALA LUMPUR,  13 Sept (Bernama) -- Sunway Malls mencipta sejarah apabila membawa pulang enam anugerah iaitu jumlah tertinggi pernah dimenangi oleh mana-mana kumpulan pusat beli-belah pada  Anugerah Persatuan Pengurusan Kompleks (PPK) Malaysia edisi ketujuh.

Majlis penganugerahan yang berlangsung di Sunway Resort Hotel sempena sambutan Ulang Tahun PPK Malaysia ke-40 itu, menyaksikan Sunway Malls mendominasi anugerah berprestij itu terutama bagi kategori kelestarian apabila mereka memenangi empat daripada enam anugerah yang dipertandingkan.

PPK Malaysia merupakan pihak utama dalam mengiktiraf sumbangan industri pusat beli-belah Malaysia, yang memainkan peranan penting dalam sektor pelancongan negara.

Anugerah yang memberi tumpuan kepada pemasaran dan kelestarian, bertujuan untuk meningkatkan profesionalisme dalam industri berkenaan. Kategori Amalan Kelestarian Terbaik diperkenalkan tahun ini untuk mengiktiraf sumbangan besar pusat beli-belah kepada usaha alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Malls HC Chan berkata pencapaian itu mencerminkan komitmen pihaknya terhadap inovasi, kreativiti dan kelestarian.

“Pencapaian Sunway Malls ini bukti kepada komitmen kami terhadap inovasi, kreativiti dan kelestarian. Memandangkan pusat beli-belah kian menjadi ruang awam yang utama, adalah penting untuk kita terus saling berhubung dan berkongsi pengalaman,” katanya pada majlis anugerah berkenaan yang dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Tourism Malaysia Datuk Dr Yasmin Mahmood.

Kejayaan itu turut diraikan bersama beberapa peruncit utama serta Pengasas dan Pengerusi Sunway Group Tan Sri Dr Jeffrey Cheah. 

Bagi kategori pemasaran dan kelestarian, Sunway Velocity Mall memenangi dua anugerah Platinum manakala Sunway Carnival Mall merangkul dua anugerah Emas, sementara Sunway Pyramid dan Sunway Big Box Retail Park masing-masing meraih anugerah Perak dalam kategori kelestarian. 

Anugerah Platinum yang dimenangi Sunway Velocity Mall itu diraih menerusi kempen My Christmas Story - One Fabric at a Time dan A Journey Towards Net Zero Emission yang diiktiraf masing-masing sebagai Pemasaran Berpengalaman Terbaik dan Amalan Kelestarian Terbaik.

Kepimpinan kreatif pusat beli-belah itu dalam aspek kelestarian diketengahkan melalui inisiatif seperti pokok Krismas setinggi 12.19 meter dihasilkan daripada 1.7 tan bahan sisa fabrik kitar semula, projek yang turut mendapat tempat dalam Malaysia Book of Records.

Sunway Carnival Mall pula meraih anugerah Emas bagi kempen Fostering a Love for Reading with Le Petit Prince  dalam kategori Pemasaran Berpengalaman Terbaik dan Empowering Communities for Sustainable Growth dalam kategori Amalan Kelestarian Terbaik. 

Inisiatif pusat beli-belah itu menyokong Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDGs) dengan tumpuan kepada usaha literasi dan melaksanakan sistem tenaga yang efisien. 

Sunway Big Box Retail Park dan Sunway Pyramid masing-masing menang Perak dalam kategori kelestarian. Sunway Big Box meraih pengiktirafan menerusi Driving Energy Efficiency Through Solar and EV Infrastructure in Johor, yang merangkumi pelaburan dalam pengecas kenderaan elektrik (EV) dan panel solar. 

Kemenangan Sunway Pyramid pula menerusi kempen SCAN (Sustainability Collaboration Alliance Network) & REX (Retail Extended Learning), yang mengetengahkan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam menggalakkan amalan perniagaan mampan. 

Sunway Malls, satu daripada pemilik-pengendali pusat beli-belah terbesar di Malaysia, kini mempunyai tujuh pembangunan runcit di seluruh negara dan tiga lagi dalam perancangan termasuk Sunway Ipoh Mall yang bakal menjadi gedung beli-belah terbesar di Perak apabila siap pada 2027 nanti.

PPK Malaysia yang ditubuhkan pada1984, memainkan peranan penting dalam menyatukan industri pusat beli-belah negara dan bekerjasama dengan kementerian serta agensi kerajaan untuk memacu pertumbuhan dalam sektor itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan