AM

Ahmad Zahid Ucap Takziah Kepada Keluarga Hussein Ahmad

13/09/2024 08:43 PM

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan Tan Sri Hussein Ahmad, yang meninggal dunia pagi tadi.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut mendoakan agar ahli keluarga Allahyarham diberikan kekuatan serta kesabaran dalam menghadapi ujian kehilangan ini.

“Semoga Allah SWT menerima segala amal bakti Allahyarham dan menempatkan beliau dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh serta beroleh ganjaran syurga,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu dilaporkan, Hussein, 90, meninggal dunia akibat sakit tua di rumahnya dekat Kampung Lemal, Pasir Mas, Kelantan pada 7 pagi tadi.

Beliau yang lebih dikenali sebagai ‘Hussein Serama’ sudah uzur sekian lama, serta menghidap penyakit Parkinson dan pernah dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian minggu lepas, akibat sesak nafas.

Allahyarham Hussein yang mempunyai enam anak, lebih 30 cucu dan 20 cicit itu pernah memegang jawatan Ketua Penerangan UMNO selama 14 tahun dari 1982 hingga 1999, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 1987 hingga 1990 dan Timbalan Menteri Besar Kelantan dari 1978 hingga 1982.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan