KLUANG, 12 Sept (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) akan bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menyelesaikan isu banjir di Jalan Kampung Sembrong Dalam (J14) di sini.
Timbalan Menterinya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata kerjasama berkenaan dilakukan bagi menyelesaikan masalah yang membelenggu kira-kira 200 penduduk di kawasan berkenaan sejak 2021.
Katanya walaupun pelbagai usaha telah dijalankan sejak 2021 hingga kini dengan membabitkan kos keseluruhan RM1.1 juta namun masih gagal mengatasi isu tersebut.
“Antara kerja-kerja yang telah dilakukan di lokasi berkenaan ialah pembaikan bahu jalan, naik aras dan pembaikan longkang sedia ada kepada longkang berbentuk U.
“Mereka yang tinggal di sini (Kampung Sembrong Dalam) telah bertahun-tahun menghadapi masalah banjir, namun sebelum ini ia dibuat secara piecemeal (sedikit demi sedikit),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Kampung Sembrong Dalam di sini hari ini.
Ahmad berkata pelan kerja lengkap berhubung penyelesaiannya telah dihantar ke Pejabat Daerah Kluang dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk tindakan selanjut.
Dalam pada itu, katanya kementeriannya sedang membina longkang berbentuk V sepanjang satu kilometer di Jalan Padang Tembak di sini bagi menyelesaikan masalah banjir di kawasan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial