EKONOMI

KRONOLOGI SASAR RAIH HASIL SEHINGGA RM400 JUTA BAGI TAHUN KEWANGAN 2025

25/06/2024 10:38 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Kronologi Asia Bhd, syarikat perkhidmatan teknologi maklumat  menyasarkan hasil sehingga RM400 juta bagi tahun kewangannya yang berakhir 31 Jan, 2025 (TK2025), berbanding hasil RM301.39 juta pada TK2024.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi Kronologi Tan Jeck Min berkata pertumbuhan akan dipacu oleh dua segmen utama kumpulan iaitu teknologi infrastruktur pengurusan data perusahaan (EDM IT), dan awan serta hibrid sebagai perkhidmatan (AAS).

“Hasil syarikat kami sentiasa didorong oleh perniagaan infrastruktur EDM IT dan tumpuan utama kami pada masa ini adalah untuk awan dan hibrid AAS berkembang walaupun ia hanya menyumbang 20 peratus kepada hasil,” katanya kepada pemberita selepas taklimat korporat syarikat (kemas kini korporat bagi tahun kewangan 2024) di sini hari ini.

Tan menambah Kronologi sedang berusaha untuk terus mengembangkan kedua-dua segmen itu memandangkan rakan kongsi dan vendor mereka memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan tersebut.

Beliau juga berkata Kronologi juga akan beralih daripada memberi tumpuan kepada perbelanjaan modal kepada menyelaraskan perbelanjaan operasi (OPEX) hartanah, loji dan peralatan.

Ini, kata Tan adalah untuk menuju ke arah kecekapan modal yang lebih baik yang akan membawa kepada penjimatan tahunan dan mengukuhkan keuntungan bukan tunai syarikat.

“Kita perlu menukar perbelanjaan modal ini kepada OPEX, yang mana ia melibatkan pajakan. Ini melibatkan rakan kongsi mengambil alih aset itu supaya kos pajakan akan lebih rendah," katanya.

Tan berkata syarikat itu merancang untuk melaksanakan pelan tersebut menjelang akhir suku ini atau awal suku berikutnya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan