AM

AGONG BERKENAN PERSEMBAH WARKAH PERSILAAN KE ISTIADAT PERTABALAN BAGINDA KEPADA SULTAN BRUNEI

25/06/2024 06:39 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan mempersembahkan warkah persilaan ke Istiadat Pertabalan Baginda kepada Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan, Brunei.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim hari ini memaklumkan majlis menghadap dan persembahan warkah persilaan itu, kemudiannya diikuti dengan majlis santapan tengah hari.

Hantaran berkenaan turut berkongsi beberapa foto sekitar majlis menghadap dan persembahan warkah persilaan itu.

Terdahulu, keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di Hangar Penerbangan Diraja Brunei disambut Pengiran Muda Mahkota Brunei Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Hadir sama Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini, Ketua Protokol Kementerian Luar Datuk Mohd Aini Atan dan Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Nur Ezira Mahadi.

Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim  akan berlangsung di Istana Negara pada 20 Julai.

Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan