POLITIK

PRK SG BAKAP: CALON PH PILIH PENDEKATAN ZIARAH RUMAH KE RUMAH

25/06/2024 05:29 PM

NIBONG TEBAL, 25 Jun (Bernama) -- Selain sesi ceramah dan tinjauan mesra, program Ziarah Kasih dari rumah ke rumah juga menjadi medium pilihan calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin untuk mendekati pengundi sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Pada hari keempat berkempen hari ini, Joohari memilih Kampung Changkat Din di Sungai Jawi di sini untuk memulakan program ziarah sebelum bergerak ke Taman Halaman Indah yang terletak kira-kira 2.5 kilometer (km) dari perkampungan tersebut.

Di kampung itu, beliau meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk melawat lima buah rumah penduduk, antaranya kediaman keluarga kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) Laila Lakisha Abdul Halim, berusia sembilan tahun yang menghidap penyakit kepala besar atau hydrocephalus.

Beliau juga sempat berkunjung ke rumah seorang warga emas Siti Kholijah Abdul Talib, 61, yang baru menjalani pembedahan mata akibat pendarahan dalaman sebulan lepas, yang menyebabkan pergerakannya terbatas kerana penglihatan kabur.

Usai bertemu penduduk di situ, Joohari yang merupakan bekas guru di beberapa buah sekolah di Sungai Bakap kemudiannya meneruskan perjalanan ke Taman Halaman Indah untuk menziarahi seorang pesakit dialisis Hamid Sharif, 73, yang menghidap penyakit berkenaan sejak enam tahun lepas.

Ketika ditemui pemberita selepas program berkenaan, Joohari mengakui pendekatan ziarah dari rumah ke rumah itu lebih berkesan yang turut membolehkan beliau berkenalan rapat dengan para pengundi.

“Saya percaya kalau diteruskan, insya-Allah kita dapat menyentuh hati para pengundi untuk memberikan keputusan yang tepat dalam memilih calon pilihan raya.

“Lagipun sebelum ini, saya banyak ke tempat awam (berkempen) dan yang bergerak dari rumah ke rumah ialah jentera. Jadi pendekatan kempen sudah tentu saya mahukan yang pelbagai,” katanya yang setakat ini telah berjumpa kira-kira 40 peratus pengundi sepanjang tempoh empat hari berkempen.

Beliau berkata berdasarkan pengamatan di lapangan, maklum balas pengundi kepada beliau adalah baik, yang disifatkan mungkin didorong oleh perwatakannya yang mesra, menyebabkan masyarakat berasa selesa untuk mendampingi dan meluahkan permasalahan ketika bertemu dengan bekas guru itu.

Berbaki 10 hari lagi tempoh berkempen, Joohari berkata tumpuannya pasti untuk ‘memutihkan’ kawasan yang dianggap ‘kelabu’ pada fasa kedua agar dapat memastikan kemenangan berpihak kepada parti wakilinya.

Sementara itu ibu Laila Lakisha, Norliza Muhammad, 43, ketika ditemui Bernama berkata dia terkejut menerima kunjungan bekas guru itu hari ini kerana tiada wakil rakyat pernah menziarahi mereka sekeluarga untuk mendalami kesusahan dihadapi.

Katanya, anak bongsu dari empat beradik itu menghidap hydrocephalus sejak lahir dan berulang alik ke hospital setiap bulan untuk mendapatkan rawatan. 

“Dia ini mudah rasa tidak selesa apabila panas. Jadi kena selalu buka kipas supaya dia rasa sejuk. Kalau makan, dia susah untuk menelan nasi, jadi saya dan ayahnya akan membeli roti untuk menggantikan nasi selain memberikannya susu.

“… sebab itu dalam sebulan, kos jagaannya tinggi dan ayahnya pula cuma membuat kerja-kerja kampung untuk mendapatkan pendapatan selain bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500,” katanya yang berharap penderitaan dialami anaknya itu mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berkaitan.

PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan Joohari dicabar Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail sebagai calon Perikatan Nasional (PN), dalam pertembungan satu lawan satu.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan