AM

KARNIVAL KERJAYA MYFUTUREJOBS MELAKA CAREERTRANS 2024 TAWAR LEBIH 3,000 PEKERJAAN

25/06/2024 04:18 PM

MELAKA, 25 Jun (Bernama) -- Lebih 3,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor dari dalam dan luar Melaka ditawarkan pada Karnival Kerjaya MyFutureJobs Melaka Careertrans 2024 yang berlangsung di Dewan A Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer keroh pada 13 dan 14 Julai depan.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata 10 peratus daripada keseluruhan jawatan kosong yang ditawarkan itu melibatkan peluang pekerjaan untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan 10 peratus lagi melibatkan peluang pekerjaan dalam sektor ekonomi gig.

Beliau berkata tawaran peluang pekerjaan itu melibatkan lebih 35 majikan dari dalam dan luar Melaka antaranya Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), CTRM Aero Composites Sdn Bhd, Puspakom, Mydin Holding Berhad dan 99 Speedmart.

"Dianggarkan lebih 5,000 pencari kerja baharu dan lama akan hadir pada karnival kerjaya yang berlangsung selama dua hari ini dan sesi temu duga akan berlangsung bermula 9 pagi hingga 5 petang.

"Peluang pekerjaan ini juga ditawarkan untuk masyarakat Orang Asli di Melaka dan sebagai Exco yang menjaga kebajikan golongan itu...pengangkutan seperti bas mungkin akan disediakan bagi membawa mereka ke karnival ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Karnival Kerjaya MyFutureJobs Melaka Careertrans 2024 yang turut dihadiri Pengarah Perkeso Melaka Nur Mohammad Bakhtir Mohamad Akhir.

Ngwe berkata karnival kerjaya itu turut melibatkan pelbagai agensi kerajaan antaranya Perkeso, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia, Tentera Darat Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia untuk pencari kerja dan pengunjung mendapatkan khidmat nasihat dan maklumat berkaitan perkhidmatan yang disediakan agensi terlibat.

Katanya pencari kerja yang ingin menghadiri sesi temu duga pada karnival itu dinasihatkan berpakaian formal dan sopan serta membawa dokumen berkaitan.

Dalam pada itu, Ngwe berkata perasmian karnival itu akan disempurnakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan dijangka dihadiri Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong. 

Dalam perkembangan lain, beliau berkata berdasarkan statistik Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs, sebanyak 8,215 jawatan kosong ditawarkan di Melaka pada tahun ini sehingga 17 Mei lepas dan dalam tempoh sama, sebanyak 2,200 pencari kerja mendapat penempatan pekerjaan.

"Sebanyak 4,111 majikan direkodkan berdaftar di portal MYFutureJobs sejak 2020 dan kadar pengangguran di Melaka adalah sebanyak 2.2 peratus sehingga suku pertama tahun ini," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan