AM

PEMBANGUNAN MASJID LAMA SUNGAI BAKAP DIJANGKA MULA NOVEMBER INI - CHOW

25/06/2024 03:51 PM

NIBONG TEBAL, 25 Jun (Bernama) -- Projek pembinaan masjid baharu di atas tapak asal Masjid Lama Sungai Bakap yang wujud sejak 1798 di sini dijangka dimulakan pada awal November ini, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Beliau berkata projek tersebut dijangka mengambil kira-kira dua tahun untuk disiapkan dan kerajaan negeri telah memperuntukkan RM6 juta bagi membiayai sebahagian daripada kos projek berkenaan.

“Pembangunan semula Masjid Lama Sungai Bakap merupakan satu daripada tujuh masjid di negeri ini yang membabitkan peruntukan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang keseluruhannya sebanyak RM18 juta,” katanya melalui hantaran Facebooknya hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM7 juta bagi pembangunan Masjid Lama Sungai Bakap ketika melancarkan Pembangunan Masjid Lama Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan pada 16 Julai 2023.

Enam lagi masjid yang terlibat ialah Masjid Papan di Seberang Jaya, Masjid Sungai Lokan dan Masjid Sungai Dua Utama di Butterworth, Masjid Bandar Raya Seberang Perai, Masjid Lama Sungai Kechil di Nibong Tebal serta Masjid Bandar Putra Bertam di Bertam.

Dalam hantaran berasingan, Chow turut berharap projek pembinaan semula Klinik Kesihatan Bandar Tasek Mutiara di sini siap mengikut jadual pada 2026.

Menurut beliau, perancangan awal berjangka panjang untuk mewujudkan sebuah lagi klinik kesihatan di lokasi lain adalah perlu sekiranya anggaran populasi penduduk dijangka meningkat pada masa hadapan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan