AM

PROGRAM ASASI TVET BUKA RUANG, JAMIN TENAGA KERJA BERKEMAHIRAN TINGGI

25/06/2024 03:18 PM

GEORGE TOWN, 25 Jun (Bernama) -- Program Asasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) membuka ruang kepada pelajar-pelajar aliran sastera dan kemanusiaan untuk memasuki bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sekali gus menjamin tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan dan sains.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pihaknya sentiasa mencari pendekatan yang luas dan fleksibel agar sistem pendidikan tinggi di negara ini tidak lagi hanya berteraskan kampus atau universiti.

"Sebab itu kerajaan memperkenalkan dan memberi penekanan kepada program TVET. Ia bukan hanya kursus-kursus teknikal yang rendah tarafnya.

"Malah kita mahu mempertingkatkan taraf TVET termasuk dalam bidang kejuruteraan dan bidang teknikal penting yang lain," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Dialog Menteri Pendidikan Tinggi dengan Industri Elektrik dan Elektronik (E&E) di sini hari ini.

Beliau menjelaskan Program Asasi TVET di Politeknik membuka ruang kepada pelajar aliran sastera dan kemanusiaan yang mendapat kelulusan baik dalam mata pelajaran sains dan matematik, seterusnya melatih mereka supaya bersedia untuk berada dalam industri.

Pendekatan kreatif tersebut boleh menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja yang diperlukan oleh industri tertentu dalam negara, tambah beliau.

Mengenai Sesi Dialog Menteri Pendidikan Tinggi dengan Industri E&E hari ini, Zambry berkata ia dianjurkan khas bagi perbincangan dua hala mengenai keperluan sektor itu termasuk dari aspek penawaran tenaga kerja dan tawaran pekerjaan yang dihadiri oleh peneraju industri, dekan-dekan E&E universiti di Malaysia dan pelajar yang terlibat dalam Inkubator Penyelidikan dan Industri-Infused (MRI3) KPT Universiti Sains Malaysia (USM).

Beliau turut menyaksikan majlis penyerahan cek simbolik daripada rakan industri kepada USM, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjumlah lebih RM5 juta untuk menzahirkan kerjasama strategik antara industri dan institusi pendidikan tinggi dalam membangunkan bakat masa depan.

Antara rakan industri terlibat adalah Intel, Oppstar Technology, PKT Logistics dan Nihon Superior.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan