AM

FELDA PERLU ADAPTASI TEKNOLOGI MESRA ALAM MENUJU EKONOMI HIJAU

25/06/2024 02:42 PM

BANGI, 25 Jun (Bernama) -- Ekosistem Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) perlu berubah dalam jangka masa panjang dengan pengadaptasian teknologi mesra alam dalam menuju ke arah ekonomi hijau lebih mampan, kata Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata ia kerana ekonomi hijau merupakan kerangka baharu dalam konteks dunia menuju hubungan ekonomi lebih mampan, lebih-lebih lagi Malaysia tertakluk kepada Perjanjian Iklim Paris 2015 yang menggariskan matlamat menggalakkan kelestarian sejagat dan menangani cabaran alam sekitar yang rumit.

“FELDA tidak boleh dianggap sebagai organisasi tradisional yang berkaitan dengan penghasilan minyak sawit semata-mata, kita mesti menuju ke satu corak ekonomi baharu dalam perspektif lebih luas.

“Sebagai contoh, kalau FELDA cepat adaptasi penggunaan jentera yang selama ini berasaskan diesel, tetapi kita tukar kepada kenderaan elektrik (EV) dan elektrik itu dijanakan melalui kilang FELDA dan menggunakan bahan bakar yang dihasilkan, jadi ia merupakan '’kelebihan diperoleh penghuni awal’ (FMA) dalam soal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Pelan Hala Tuju Ekonomi Lestari Felda di sini hari ini, yang antara lain menampilkan sesi perkongsian bersama pihak industri mengenai pengunaan biojisim, hortikultur dan pembajaan dalam sektor perladangan kelapa sawit.

Ahmad Shabery berkata Felda juga berpotensi menjadi penyumbang besar kepada sumber tenaga boleh diperbaharui contohnya solar dan biojisim memandangkan keluasan tanah Felda, sekali gus memberi pulangan ekonomi yang lebih baik.

“ Felda dan FGV Holdings Bhd (FGV) mempunyai kelebihan memandangkan solar memerlukan kawasan tanah yang luas, dan untuk biojisim kami mempunyai bekalan isi rong kelapa sawit yang berterusan.

“Ia menunjukkan permintaan terhadap pekhidmatan bersumberkan hijau akan semakin meningkat dan akan ada kesan yang baik kepada ekonomi hijau," katanya.

Ekonomi hijau merujuk kepada paradigma ekonomi yang memacu pertumbuhan, pendapatan dan pekerjaan tanpa mengorbankan sumber ekosistem dan biodiversiti semula jadi.

Ia juga mengutamakan pembangunan ekonomi yang dapat melindungi sumber semula jadi, meningkatkan keupayaan sumber dan menggalakkan penggunaan secara mampan.

Ahmad Shabery berkata satu jawatankuasa akan dibentuk untuk mengkaji hasil sesi perkongsian menerusi bengkel tersebut dan seterusnya mengadakan sesi libat urus dengan pihak kerajaan bagi perkara yang memerlukan penglibatan kerajaan sepenuhnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan