BERITA TERGEMPAR   PRK Nenggiri: Jentera PH akan digerakkan bantu kempen calon BN- Fahmi | 
 DUNIA

400 PEGAWAI POLIS KENYA BERLEPAS KE HAITI MENGETUAI MISI PBB

25/06/2024 02:34 PM

NAIROBI, 25 Jun (Bernama-Anadolu) -- Kontinjen 400 pegawai polis Kenya, kumpulan pertama daripada 1,000 anggota, berangkat dari ibu negara Nairobi awal Selasa untuk ke Haiti, lapor Agensi Anadolu (AA).

Para pegawai akan mengetuai usaha multinasional untuk memerangi kumpulan samseng yang berkuasa dan memulihkan ketenteraman di negara Caribbean itu.

Presiden William Ruto, semasa taklimat prapenempatan di Kolej Latihan Polis Pentadbiran di Embakasi, berkata "Kenya mempunyai rekod cemerlang dalam usaha pendamaian dan penyelesaian konflik di peringkat global. Kehadiran anggota polis kita di Haiti akan memberi kelegaan kepada lelaki, wanita, dan kanak-kanak yang hidupnya terjejas akibat keganasan samseng."

"Kita akan bekerjasama dengan komuniti antarabangsa untuk membawa kestabilan yang berkekalan di Haiti," tambahnya.

Kerah tugas itu bermula beberapa minit selepas tengah malam di Kenya, di tengah-tengah peningkatan keganasan dan ketidakstabilan politik di Haiti, dengan kumpulan samseng menguasai sebahagian besar ibu kota dan menewaskan pihak berkuasa tempatan.

Misi itu disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan melibatkan sokongan daripada pelbagai pasukan antarabangsa.

Polis Kenya, yang terdiri daripada unit khusus seperti Unit Penempatan Segera (RDU) dan Unit Perkhidmatan Am (GSU), akan mengetuai Misi Sokongan Keselamatan Multinasional di Haiti iaitu pegawai dari negara lain juga akan turut serta.

Haiti telah lama bergelut dengan keganasan samseng dan ketidakstabilan politik. Keadaan bertambah buruk dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dengan penculikan, pembunuhan, rompakan bersenjata dan jenayah ganas lain menjadi kebiasaan.

Haiti telah meminta bantuan antarabangsa untuk membantu memulihkan ketenteraman dan keselamatan.

Amerika Syarikat (AS) telah berjanji untuk menyediakan dana sebanyak US$100 juta untuk misi yang diketuai PBB berkenaan jika diluluskan oleh Kongres dan beberapa negara lain termasuk Kanada, Jamaica dan Senegal telah menyatakan sokongan mereka terhadap inisiatif itu.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan