AM

KERAJAAN "BUTA WARNA" DALAM BUKA PELUANG UNTUK RAKYAT IKUTI TVET - AHMAD ZAHID

25/06/2024 02:20 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Kerajaan mengambil pendirian ‘buta warna’ atau tidak pilih kasih dalam memberikan peluang kepada rakyat Malaysia untuk mengikuti kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata ini terbukti apabila kerajaan membuka peluang kepada pelajar tanpa mengira kaum di negara ini menjalani latihan berkaitan TVET di China.

“(Kerajaan) telah dapat sediakan 5,125 tempat untuk pelajar Malaysia dihantar ke China dengan biasiswa sepenuhnya. Kerajaan atau organisasi hanya perlu bayar tiket penerbangan sahaja.

“Dengan tawaran begitu, saya telah membuka peluang ini (termasuk) tempat untuk pelajar keturunan Cina, India, Sabah dan Sarawak yang kita beri peluang untuk mereka mendapat pendedahan daripada negara China,” katanya pada sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang ingin tahu mengenai kuota pertama yang ditawarkan kepada pelajar Malaysia dan China susulan penubuhan Malaysia-China Institute (MCI).

Pada 30 Mei lepas, Ahmad Zahid dilaporkan berkata 220 syarikat China menawarkan 5,125 kuota kepada pelajar Malaysia untuk menjalani latihan berkaitan TVET bagi jangka pendek, sederhana dan panjang sekali gus menjadi ‘game changer’ atau pengubah keadaan dalam melonjakkan industri TVET di Malaysia.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata 98.5 peratus pelajar TVET di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA), iaitu agensi dibawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), berjaya memperoleh  pekerjaan.

Bagaimanapun beliau berkata ia tidak bermakna baki 1.5 peratus daripada pelajar itu tidak mendapat pekerjaan, sebaliknya mereka memilih untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi iaitu diploma, ijazah dan juga sarjana.

“... kita harus lihat kursus yang ditawarkan itu mesti bersesuaian dengan permintaan kepada pasaran guna tenaga. Kita mahu kursus yang ditawarkan itu adalah kursus yang ditentukan keperluannya oleh penggiat industri agar mereka ini terus dapat bekerja di syarikat berkenaan.

“Apa yang kerajaan lakukan sekarang ini ialah, penggiat industri atau syarikat itu terus menandatangani MoA (Memorandum Perjanjian) dengan institusi TVET. Jadi pelajar yang bakal tamat dalam sesuatu kursus itu akan terus bekerja,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan