EKONOMI

AIRASIA MENANG ANUGERAH SYARIKAT PENERBANGAN TAMBANG RENDAH TERBAIK DUNIA KALI KE-15

25/06/2024 01:41 PM

Daripada Kisho Kumari Sucedaram

LONDON, 25 Jun (Bernama) -- AirAsia terus melakarkan kecemerlangan apabila memenangi anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia di Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2024 untuk kali kelima belas berturut-turut dalam segmen syarikat penerbangan tambang rendah di peringkat global.

Syarikat penerbangan itu juga menerima gelaran Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik di Asia pada majlis anugerah tersebut.

Penghargaan berkenaan diberikan sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan AirAsia dalam mempromosikan ketersambungan dan menggiatkan semula pelancongan di seluruh rantau ASEAN.

Semasa menerima anugerah itu pada majlis yang diadakan di Fairmont Windsor Park dekat sini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A Tan Sri Tony Fernandes berkata AirAsia telah berusaha untuk berada di hadapan, mengambil laluan berliku untuk mentakrifkan semula dan mendemokrasikan akses kepada perjalanan udara.

Beliau berkata ia memberi inspirasi untuk melihat pertumbuhan industri ini selama bertahun-tahun sejak penubuhannya.

AirAsia bermula pada tahun 2001 apabila Tony Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun memperoleh syarikat penerbangan berkenaan yang mengalami masalah kewangan sebelum itu dengan dua pesawat dan 200 kakitangan, mengubahnya menjadikannya syarikat penerbangan keempat terbesar di Asia, mempunyai lebih 200 pesawat dan 21,000 kakitangan di seluruh Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja.

“Dipacu oleh tujuan mentakrifkan semula perjalanan udara di ASEAN dengan menyediakan kemampuan, keterangkuman dan kebolehcapaian, AirAsia adalah antara syarikat penerbangan terkemuka di rantau ini yang mengutamakan ketersambungan dan aktiviti pelancongan,” kata Tony dalam ucapannya pada Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2024 di sini.

Memanfaatkan rekod prestasi 23 tahunnya dalam operasi pelbagai hab yang disruptif di Asia, beliau berkata syarikat penerbangan itu terus menambah baik perkhidmatan pelanggan dengan ketara, semuanya hasil daripada penambahbaikan secara berterusan dalam urusan tempahan dan perjalanan serta perkhidmatan sampingan yang inovatif.

“Selain itu, pengaktifan semula armada (pesawat) kami yang sedang berjalan dan penghantaran pesawat baharu dalam beberapa bulan akan datang akan membolehkan AirAsia meneroka destinasi baharu yang berpotensi menambah laluan penerbangan merentasi Afrika dan Eropah.

“Kami juga menyedari cabaran dihadapi ketika membina (memulih) semula syarikat penerbangan ini daripada krisis terburuk dalam sejarah penerbangan tetapi hari ini kami bangkit semula dengan lebih kuat. Perjalanan udara kembali aktif, “the sky is the limit” (meneroka pelbagai peluang) dan kami bekerja keras untuk menjadi lebih baik daripada sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata pencapaian itu disebabkan kakitangan dan pelanggan AirAsia terdiri daripada 21,000 pekerja dan 800 juta penumpang yang terus menyokong AirAsia walaupun menghadapi banyak cabaran sejak beberapa tahun lepas.

“AirAsia terus menawarkan destinasi syarikat penerbangan lain tidak sediakan, kami masih menawarkan tambang terendah walaupun harga meningkat tetapi dengan menyediakan perkhidmatan terbaik,” katanya.

Semasa COVID-19, beliau berkata AirAsia menghadapi tempoh paling mencabar dengan urusan bayaran balik, justeru anugerah berkenaan adalah penghargaan kepada mereka yang mempunyai keyakinan terhadap AirAsia walaupun impak pandemik itu terhadap industri penerbangan.

“Setakat ini, kami telah melunaskan bayaran balik tersebut dengan baki beberapa lagi masih dalam proses di Filipina,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Skytrax Edward Plaisted berkata kemenangan AirAsia untuk kali ke-15 sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia dan Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik di Asia mencerminkan dedikasi syarikat penerbangan itu menyediakan pilihan perjalanan udara berkualiti dan berpatutan kepada pelanggan di Asia.

Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax adalah setaraf dengan Anugerah Akademi (Oscars) dalam industri penerbangan, ditentukan oleh jutaan pengembara antarabangsa dengan keputusan anugerah akhir melibatkan lebih daripada 325 syarikat penerbangan.

Skytrax telah menjalankan Audit Syarikat Penerbangan Dunia bagi tempoh melebih 25 tahun.

Lebih 100 pelanggan dari pelbagai negara mengambil bahagian dalam tinjauan dalam talian 2023/2024 dengan 21.42 juta penyertaan yang layak dikira dalam keputusan tersebut dari September 2023 hingga Mei 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan