EKONOMI

KERAJAAN TELITI, AMBIL TINDAKAN SESUAI TINGKATKAN KEDUDUKAN MALAYSIA - PM ANWAR

25/06/2024 01:29 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Kerajaan sedang meneliti dan mengambil tindakan yang bersesuaian untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Daya Saing Dunia yang kini berada di tangga ke-34. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini termasuk usaha meningkatkan pengurusan ekonomi negara, mengukuhkan ringgit dan melaksanakan penyasaran subsidi yang dijangka membantu negara melonjak kepada kedudukan yang lebih tinggi.

“Memang ada kelemahan yang perlu diperbaiki cuma saya minta perhatian secara umum, laporan itu masih mengekalkan kedudukan kita sebagai ekonomi yang stabil. Berdasarkan laporan IMD, kedudukan Malaysia bagi subsektor prestasi ekonomi kita nombor lapan, masih tidak membimbangkan.

“Saya tidak menafikan (apa yang membimbangkan) kalau tengok prestasi ringgit kita sebelum ini dan keadaan kita berbelanja untuk subsidi yang bertambah dan lewat dalam penyasaran subsidi tetapi saya percaya kalau kita ambil langkah-langkah ini dengan tegas, ia (kedudukan Malaysia) boleh melonjak,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mengenai kedudukan indeks itu. 

Anwar berkata berdasarkan unjuran semasa dan prestasi suku pertama 2024, kedudukan negara mampu meningkat jauh lebih baik daripada laporan sebelumnya. 

Menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi mengenai kedudukan indeks itu yang dianggap cerminan kepada prestasi Jemaah Menteri yang berkemungkinan perlu ditukar, Anwar berkata segala prestasi merupakan tanggungjawab semua pihak. 

“Kalau ada teguran yang kita agak alpa, kita baiki dan ini tanggungjawab keseluruhannya bukan sahaja Jemaah Menteri, ketua setiausaha, ketua-ketua pengarah dan agensi kerajaan.

“Saya setuju, semua termasuk saya dan Jemaah Menteri semuanya harus perbaiki prestasi sedaya upaya kita dan saya akan sampaikan kepada Jemaah Menteri,” kata beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan