EKONOMI

MOSTI KENAL PASTI SYARIKAT BERPOTENSI JADI 'SOONICORN', 22 PERATUS SYARIKAT BUMIPUTERA

24/06/2024 09:37 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Cradle Fund telah mengenal pasti beberapa syarikat yang berpotensi menjadi syarikat ‘soonicorn’ dengan setakat ini  22 peratus daripadanya adalah syarikat bumiputera. 

Menurut MOSTI syarikat bumiputera yang berpotensi itu terlibat dalam pelbagai bidang seperti perkhidmatan dron dan pasaran digital.

Syarikat ‘soonicorn adalah istilah yang digunakan untuk menggambarkan syarikat pemula niaga yang mungkin menjadi syarikat ‘unicorn’ dalam masa terdekat dengan nilai syarikat masih di bawah US$1 bilion.

Sementara itu MOSTI berkata VentureTECH yang diberi mandat pelaburan pelbagai peringkat dalam syarikat bumiputera telah melabur sebanyak 21 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburannya dalam syarikat pemula niaga yang berpotensi antaranya Aerodyne, Cell Tissue, Bayo Pay, Bateriku, TXMR dan juga SS Rover.

“79 peratus daripadanya adalah dalam kategori mezzanine,” kata MOSTI menerusi jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen, hari ini. 

Kementerian itu berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) yang ingin mengetahui mengenai syarikat 'soonicorn' bumiputera dan langkah untuk merancakkan ekosistem syarikat pemula tempatan serta hala tuju bagi menjadikan Malaysia sebagai hab pemula dan digital serantau.

MOSTI berkata bagi 2024 terdapat beberapa lagi syarikat pemula niaga bumiputera yang berpotensi  dalam perancangan pelaburan VentureTECH yang kini sedang menjalani proses penilaian pelaburan.

Bagi melonjakkan ekosistem pemula niaga negara dan mewujudkan syarikat pemula niaga yang berdaya saing di peringkat antarabangsa, MOSTI telah melancarkan Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030 pada November 2021 serta Strategi Tindakan MYStartup.

“MOSTI akan terus menyokong pembangunan ekosistem pemula niaga Malaysia secara menyeluruh melalui program pembiayaan, pelaburan dan pembangunan kapasiti kepada syarikat pemula niaga negara,” katanya. 

Mengenai hala tuju untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pemula dan digital serantau, MOSTI berkata negara akan memperkukuhkan ekosistem pemula niaga serantau melalui Inisiatif ASEAN Technology Startup.

“Malaysia akan memainkan peranan yang lebih penting sebagai pemacu hab pemula niaga dan digital serantau yang inovatif dan berdaya saing, sambil mempertingkat kerjasama serantau, menjelang kepengerusian ASEAN 2025.

“Selain itu, sebuah platform serantau akan dibangunkan yang bakal menghubungkan syarikat pemula  niaga dengan pelabur, sokongan program pembangunan kapasiti dan rakan kongsi strategik dari seluruh ASEAN dan menyokong program yang memupuk inovasi dan pembangunan teknologi di negara-negara ASEAN,” kata kementerian tersebut. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan