EKONOMI

MIGHT, OSP KOREA SELATAN MEMETERAI MOU PENGUKUHAN PERDAGANGAN DIPACU TEKNOLOGI

24/06/2024 08:39 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) --Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) serta Pejabat Perancangan Penyelidikan dan Pembangunan Strategik (OSP) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam memperkukuh perdagangan yang dipacu teknologi berdasarkan teknologi nilai kolaboratif. 

OSP merupakan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan di bawah Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga Korea Selatan yang mempromosikan inovasi teknologi perindustrian, termasuk penemuan bidang enjin pertumbuhan industri masa depan dan teknologi teras.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta MIGHT menjelaskan cadangan kerjasama itu akan dijalankan selama tiga tahun dalam bidang bernilai tinggi dan berkepentingan strategik kepada kedua-dua negara.

Mereka berkata kerjasama itu disokong oleh Malaysia Science Endowment, satu inisiatif di bawah MOSTI dan Akademi Sains Malaysia (ASM) bagi mengeruskan pembiayaan penyelidikan dan pembangunan negara.

“Ini termasuk industri semikonduktor dan elektronik, bioteknologi dan industri farmaseutikal, pembuatan dan automasi pintar; kenderaan elektrik (EV) dan teknologi bateri; kecerdasan buatan (AI), analisis data serta tenaga boleh baharu dan teknologi hijau.

“Kerjasama itu juga melibatkan dasar teknologi serta perancangan strategi; analisis prestasi penyelidikan dan pembangunan, angkasa dan aeroangkasa termasuk industri rel,” kata kenyataan itu.

Perkongsian tersebut akan memainkan peranan penting dalam memacu aspirasi Malaysia ke arah mencapai status negara berteknologi tinggi melalui kemajuan sains, teknologi, inovasi dan ekonomi untuk kesejahteraan masyarakat serta pembangunan mampan. 

“Pengalaman Korea Selatan menjadi penanda aras yang berharga dalam pelbagai elemen pembangunan sains serta teknologi, termasuk pembiayaan R&D dan strategi penyelarasan, antara lain.

“Kedua-dua pihak menantikan penciptaan nilai positif hasil daripada langkah berkenaan, yang ditubuhkan pada asas kesaksamaan dan faedah bersama ke arah pendalaman industri serta inovasi, termasuk potensi penubuhan perjanjian membabitkan projek perniagaan ke perniagaan,” tambahnya.

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan