AM

LANGKAH TAMBAH JUMLAH PESAWAT DISAMBUT BAIK, TAWAR TAMBANG PENERBANGAN KOMPETITIF - LOKE

24/06/2024 06:56 PM

SEPANG, 24 Jun (Bernama) -- Kerajaan mengalu-alukan sebarang langkah oleh syarikat penerbangan tempatan untuk menambah jumlah pesawat masing-masing yang akan menyumbang kepada tambang penerbangan yang lebih kompetitif, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata ini berikutan tambang penerbangan mempunyai penentuan harga yang dinamik, dan kerajaan tidak mempunyai kawalan terhadap harga tiket penerbangan melainkan bagi perjalanan domestik ketika musim perayaan di negara ini.

“Kami telah mempunyai polisi ketika musim perayaan yang mempunyai had dari segi penentuan harga, dan kerajaan memberi subsidi, tetapi dari segi perjalanan antarabangsa, tiada mekanisme (subsidi) sedemikian.

"Kaedah untuk menyelesaikan isu tambang penerbangan yang tinggi adalah dengan menyediakan lebih banyak penawaran. Justeru, apabila terdapat lebih banyak persaingan … lebih banyak penawaran di pasaran dan pastinya pasaran akan menyesuaikannya," katanya mengulas kebimbangan mengenai tambang penerbangan semasa yang kekal tinggi selepas pandemik berikutan perjalanan yang berkembang pesat.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyaksikan majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Batik Air dan Kia untuk menawarkan perkhidmatan pemindahan terminal persendirian di sini hari ini.

“Sehubungan itu, saya gembira apabila dimaklumkan Batik Air sedang menambah jumlah pesawatnya. Ia (menambah) 20 lagi pesawat dalam tempoh enam bulan akan datang, menjadikan menjelang akhir tahun ini, syarikat penerbangan ini akan mempunyai 50 pesawat yang beroperasi di pasaran Malaysia,” katanya.

Batik Air hari ini memeterai MoU dengan pengeluar automotif Korea Selatan Kia bagi perkhidmatan pemindahan terminal persendirian baharunya, khusus bagi penumpang kelas perniagaan.

Syarikat penerbangan itu berkata ia akan meningkatkan pengalaman perjalanan bagi penumpang Promo Kelas Perniagaan dan Flexi menerusi pemindahan secara lancar dan premium antara Bangunan Terminal Utama dan Bangunan Satelit Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan