POLITIK

PKR PAHANG BENTUK JAWATANKUASA KEPIMPINAN BAHARU

22/06/2024 11:19 PM

KUANTAN, 22 Jun (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang membentuk satu jawatankuasa kepimpinan baharu menerusi mesyuarat yang diadakan di sini hari ini. 

Pembentukan jawatankuasa itu susulan pelantikan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri manakala Ketua Cabang Lipis Rizal Jamin sebagai Timbalan Pengerusi oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Mei lepas.

Fuziah dalam kenyataan malam ini berharap kepimpinan baharu dapat memainkan peranan dan dilibatkan secara jelas serta penuh dalam segala urusan dan aktiviti berkaitan kerajaan negeri secara langsung atau tidak langsung.

Beliau berkata pihaknya menyedari bahawa hubungan serta kerjasama erat kerajaan negeri dan Persekutuan amat penting untuk manfaat rakyat Pahang seperti yang dibuktikan atas komitmen bersama Perdana Menteri serta rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan. 

"Mesyuarat juga memutuskan untuk turut serta membantu jentera bagi memberi kemenangan calon Keadilan (PKR) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap, Pulau Pinang yang telahpun bermula kempennya hari ini," katanya. 

Jawatankuasa itu turut dianggotai oleh Ketua Cabang Kuantan Fakhrul Anuar Zulkawi sebagai Naib Pengerusi 1 manakala Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang Sim Chon Siang sebagai Naib Pengerusi 2 dan Ahli Dewan Negara Manolan Mohamad dilantik sebagai Naib Pengerusi 3. 

Ahli Dewan Undangan Negeri Semambu Chan Chun Kuang pula dipilih sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan Pahang dan Haslindalina Hashim dilantik sebagai Ketua Wanita Negeri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan